harisfadli@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Sebuah kedai emas dirompak seorang lelaki bertopeng bersenjatakan pistol dalam kejadian di dalam sebuah pasar raya, di sekitar Kota Damansara, di sini hari ini.
Saksi kejadian, Alex berkata, kejadian berlaku kira-kira 5 petang dan terjadi dengan pantas sehingga tidak disedari pekerja dan pengunjung berhampiran.
“Masa itu saya ada di dalam (kios), tahu-tahu penggera kedai emas di depan ini menyebabkan terkejut.
“Ketika itu saya nampak seorang lelaki (dipercayai) memakai hoodie dan membawa beg sedang melarikan diri,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui, di sini, hari ini.
Alex berkata, tidak seorang pun pekerja yang berkerja di kios dan kedai berhampiran menyedari rompakan itu berlaku sehinggalah penjenayah itu melarikan diri.
Katanya, ketika kejadian, bunyi jeritan atau kekecohan tidak kedengaran, malah penggera hanya dibunyikan selepas perompak berkenaan keluar dari premis.
“Kami pun terkejut tiba-tiba penggera berbunyi, saya pun tanya apa berlaku dan mereka kata kedai dirompak.
“Kita ingat mereka sedang layan pelanggan seperti biasa, rupanya kena rompak.
“Saya tidak pasti pukul berapa atau berapa lama perompak itu ada di sana kerana sedar-sedar dia sudah lari,” katanya.
Sementara itu, sumber berkata, suspek bertindak melarikan diri menaiki sebuah kereta sejurus melakukan rompakan itu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar ketika dihubungi berkata akan mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian itu dalam masa terdekat.
© New Straits Times Press (M) Bhd