am@hmetro.com.my
Shah Alam: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menasihatkan umat Islam supaya sentiasa bersikap amanah dan jujur.
Baginda turut menyeru umat Islam supaya mengingati hukuman keras Allah yang menanti sekiranya gagal melaksanakan amanah dengan jujur dan berintegriti.
“Malangnya, Beta masih lagi mendengar laporan berita berkait dengan ketidakjujuran dan isu integriti terhadap mereka yang diamanahkan dengan kuasa dan tanggungjawab umpamanya kes kecurian dan penyelewengan duit tabung masjid, penyelewengan duit anak yatim dan kecurian wang kutipan zakat.
“Di peringkat lebih besar penipuan oleh syarikat pelancongan tanpa lesen yang mengendalikan pakej haji dan umrah sering kali dilaporkan.
“Mereka yang melakukan penipuan memperoleh keuntungan besar atas kesusahan dan penderitaan umat Islam lain, semua ini membabitkan duit milik orang Islam dan pelakunya kebanyakannya adalah dari kalangan orang Islam sendiri.
“Kenapa semua ini harus berlaku di dalam masyarakat Islam? Kenapa perlu diseleweng dan dicuri duit milik orang Islam ini?
“Tidakkah mereka ada sedikit perasaan simpati kepada mangsa yang ditipu,” titah baginda ketika berkenan menyempurnakan perasmian Masjid Raja Bendahara Tengku Badar Shah yang juga dikenali sebagai Masjid Daerah di Denai Alam, di sini hari ini.
Sultan Sharafuddin bertitah, perbuatan keji ini boleh mencemar kesucian agama Islam pada pandangan penganut agama bukan Islam.
“Mungkin kita boleh terlepas dengan hukuman dunia namun kita tidak akan dapat melepasi hukuman berat Allah di hari perhitungan nanti.
“Dalam masa sama, masyarakat Islam diingatkan untuk belajar memanfaatkan segala sumber maklumat dan komunikasi untuk mengelak daripada menjadi mangsa penipuan.
“Contohnya, masjid dan surau boleh memaksimumkan penggunaan bayaran atas talian seperti QR pay bagi mengutip derma.
“Zakat juga hendaklah dibayar kepada Lembaga Zakat Selangor atau amil yang dilantik oleh LZS.
“Bahkan, mereka yang mahu menunaikan haji dan umrah hendaklah memastikan pengendali pakej haji dan umrah itu adalah pengendali sah yang dilesen dan diiktiraf oleh TH,” titah baginda.
© New Straits Times Press (M) Bhd