JAKARTA: Indonesia diramal menjadi negara terakhir di dunia yang dapat keluar daripada krisis pandemik COVID-19 jika tiada tindakan strategik luar biasa diambil sekarang.
BBC News Indonesia melaporkan, selepas hampir satu setengah tahun pandemik itu menyerang dunia, tindakan yang diambil pemerintah republik itu lebih dipengaruhi kepentingan politik dan ekonomi berbanding kesihatan.
Keadaan seperti itu, jelas pemerhati kesihatan awam, dikhuatiri akan melenyapkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan dan mampu mencetuskan protes besar-besaran.
Bagaimanapun, kerajaan menafikan anggapan berkenaan dan menjanjikan penambahan Anggaran Pendapatan dan Belanja Negara (APBN) untuk kesihatan pada tahun depan.
Sepanjang pandemik COVID-19 ini, kerajaan Indonesia melaksanakan lima tindakan bermula dengan Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) pada Mac 2020 disusuli Pelaksanaan Pembatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM) mulai Januari lalu.
Kemudian, pemerintah melaksanakan PPKM Mikro di seluruh wilayah dan menggantikannya kepada PPKM Darurat pada awal Julai di wilayah Jawa-Bali ekoran lonjakan kes jangkitan selepas Aidilfitri.
Selepas tamat jangka waktu penerapan PPKM Darurat, kerajaan melanjutkan dengan membuat aturan baharu iaitu PPKM Tahap 1 hingga 4 sampai 2 Ogos ini.
Bagaimanapun, pakar epidemiologi dari Griffith University, Australia, Dicky Budiman, berpendapat semua tindakan itu banyak dipengaruhi tolak ansur politik dan ekonomi berbanding kesihatan.
Contohnya, kata beliau, tindakan pemerintah mengadakan pemilihan daerah (Pilkada) atau pilihan raya daerah secara serentak pada Disember lalu meskipun ditentang pakar kesihatan.
“Pada tahun pertama, pemerintah memandang remeh pandemik dan keputusan yang diambil tidak berdasarkan sains.
“Pada tahun kedua, mereka ingin ‘berjalan dengan dua kaki’, iaitu kesihatan dan ekonomi tetapi tidak seimbang dengan kesihatan berada pada tahap lemah,” katanya.
Tambah beliau, dasar yang penuh dengan tolak ansur memberi kesan besar kepada sektor kesihatan.
Indonesia berada di kedudukan teratas sebagai penyumbang tertinggi kes dan kematian harian di dunia sejak beberapa hari lalu.
Budiman meramalkan Indonesia akan menjadi negara terakhir di dunia yang keluar daripada krisis pandemik coronavirus jika tidak ada ‘perubahan strategi yang luar biasa’. – AGENSI
© New Straits Times Press (M) Bhd