“Jangan takut jika saham naik atau turun. Ada sesiapa di sini yang memiliki saham? Tidak? Tak apa,” kata beliau ketika berucap sempena pelancaran Program Gerakan Indonesia Menanam di Ogan Ilir, Sumatera Selatan pada Rabu seperti dilaporkan Antara.
Prabowo turut menyatakan penghargaan kepada para pelabur yang memainkan peranan dalam menyokong ekonomi negara.
“Namun selama kita mampu menghasilkan makanan sendiri, negara ini akan terus selamat. Negara kita kuat, negara kita kaya,” katanya lagi.
Prabowo turut menekankan bahawa Indonesia merupakan negara yang kaya dengan sumber daya alam, dan beliau mahu kekayaan tersebut dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, bukan hanya segelintir pihak.
Dalam majlis sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Menteri Pertanian, Amran Sulaiman, serta pihak berkuasa tempatan dan para petani atas usaha mempercepatkan pengeluaran hasil pertanian negara.
“Saya ucap terima kasih kepada menteri pertanian. Kalau ikut tentera, saya nak naikkan pangkat dia beberapa kali! Menteri pertanian kita memang kerja kuat, turun padang. Kalau dia tak hitam (kerana panas bekerja di lapangan), saya mula curiga,” katanya berseloroh.
Sebelum ini, Prabowo beberapa kali mengaitkan kestabilan pasaran saham dengan jaminan keselamatan makanan. Dalam satu mesyuarat Kabinet Paripurna, beliau menegaskan bahawa makanan merupakan keperluan utama negara.
“Harga saham boleh naik dan turun, tapi kalau makanan selamat, negara juga akan selamat,” katanya.