Individu lelaki berpakaian wanita boleh disiasat mengikut Akta Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan

Individu lelaki berpakaian wanita boleh disiasat mengikut Akta Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan

PUTRAJAYA: Individu lelaki Muslim yang berpakaian wanita dalam sebuah acara hiburan pada Ahad lalu boleh disiasat dan dihukum mengikut Akta Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, beliau melihat jelas kemungkinan berlaku pelanggaran Seksyen 25 Akta Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan kerana kesalahan berpakaian seperti jantina lain.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) juga akan memanggil individu berkenaan dalam masa terdekat untuk tindakan selanjutnya.

“Individu-individu berkenaan telah dikenal pasti dan usaha dibuat oleh Jawi untuk menghubungi mereka.

“Saya juga telah bertemu dengan Pengarah Jawi, Hanifuddin Roslan bagi mendapat maklum balas mengenai isu itu serta tindakan serta usaha yang akan dilakukan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Katanya, pihaknya tidak berdiam diri dalam isu berkenaan, malah Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga akan memanggil individu berkenaan.

Jelasnya lagi, individu berkenaan akan diberikan nasihat dan semoga ia dapat memberi iktibar dan pengajaran pada masa akan datang.

Mohd Na’im berkata, usaha melalui penguatkuasaan dan pendekatan nasihat akan bergerak serentak dalam menangani isu berkenaan.

“Perbuatan atau tindakan menyerupai jantina lain telah dinyatakan dengan jelas dalam agama Islam dan ada batas-batas yang perlu dipatuhi,” katanya.

Sebelum ini, tular video dan gambar di media sosial berhubung beberapa individu lelaki yang mengenakan pakaian fesyen keterlaluan dan menyerupai wanita semasa Anugerah Juara Lagu 39 yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada Ahad. – UTUSAN

Scroll to Top