Indahnya berbuka puasa di tengah sawah padi

Indahnya berbuka puasa di tengah sawah padi

am@hmetro.com.my

Besut: Lebih 600 penduduk serta petani menikmati suasana berbuka puasa di tengah sawah padi di Kampung Padang Baloh, Hulu Besut, di sini, petang semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin berkata, majlis iftar perdana di sawah padi itu sudah diadakan sejak tiga tahun lalu serta sentiasa mendapat sambutan menggalakkan.

“Tetamu disajikan dengan lebih 100 hidangan pelbagai jenis juadah berbuka termasuk nasi, lauk pauk serta kuih-muih.

“Suasana berbuka puasa di tengah kehijauan sawah padi dapat menghidupkan semangat kebersamaan dan kesyukuran di bulan Ramadan ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim.

Katanya, acara berbuka puasa di tengah sawah sudah menjadi tradisi untuk masyarakat di situ serta sentiasa menjadi acara dinantikan setiap tahun.

“Majlis ini bukan sahaja sekadar berbuka puasa bersama-sama tetapi juga dapat mengukuhkan silaturahim serta mengeratkan hubungan antara penduduk setempat.

“Saya berharap tradisi ini akan diteruskan pada masa hadapan serta boleh menjadi inspirasi untuk penduduk di kawasan lain turut mengadakan program seumpama ini,” katanya.

Sementara itu Ketua Tani Kumpulan Pengguna Air (KPA)TPBA, Wan Abdullah Wan Abdul Kadir berkata, acara tahunan itu dapat menghimpunkan pesawah yang menanam padi di kawasan itu.

“Kawasan sawah padi bukan sekadar tempat mencari rezeki tetapi juga tempat kami mengeratkan silaturahim antara satu sama lain.

“Saya berharap acara ini akan dapat diteruskan pada masa akan datang kerana sentiasa mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

“Saya juga turut berterima kasih kepada semua pihak yang membantu untuk menjayakan majlis ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top