razis@mediaprima.com.my
Dalam seni bonsai negara, Mohd Rosli Mohd Salleh, 57, cukup disegani bukan asing lagi.
Pengalaman dan kepakaran dalam seni bonsai turut mendapat perhatian di luar negara apabila pernah dijemput membentangkan kertas kerja dan menunjukkan demonstrasi di China bersama 10 pakar bonsai dari seluruh pada 2017.
“Seni bonsai adalah untuk memenuhi kepuasan berkarya dalam seni yang tidak diperoleh dengan melukis,” katanya yang aktif menanam pelbagai spesies bonsai sejak tiga dekad lalu.
Kini, bapa sembilan anak yang bekerja sebagai pelukis sepenuh masa ini memiliki hampir 200 bonsai membabitkan 100 spesies dari dalam dan luar negara yang ditanam di sekitar rumahnya di Taman Meru Permai, Klang, Selangor
Antara bonsai yang ditanam termasuk Black Mamba, Bebuas, Chinese Elm, Serissa, Jeliti dan Jari Lipan yang ditanam dalam pasu di sekitar rumahnya.
Menariknya, pelbagai gaya setiap bonsai ini dibentuk sendiri Mohd Rosli sebagai karya seninya.
Melihat deretan bonsai di halaman rumahnya, bukan sahaja membentuk landskap menarik, malah memberi ketenangan kepada sesiapa sahaja yang bertandang.
Perasaan ini dirasai penulis sebaik memasuki pekarangan rumah semi D yang dinamakan Leemar Studio Art Gallery berkeluasan 112 kaki persegi x 35 persegi ini.
Penulis seolah-olah berada di taman mini yang dipenuhi pelbagai bonsai yang memiliki bentuk unik dan menarik.
Biarpun sarat dengan bonsai, Mohd Rosli yang pernah bekerja sebagai pereka bandar bijak menyusun tumbuhan kerdil ini bagi menonjolkan hasil karya seninya, sekali gus dapat mewujudkan interaksi ruang.
Mohd Rosli berkata, dahulu boleh dikatakan hampir segenap ruang di rumah ini dipenuhi pelbagai spesies bonsai.
Tapi, kini tinggal 40 peratus sahaja dan bakinya sudah dijual kepada peminat bonsai dari dalam dan luar negara.
“Saya sudah mencapai tahap diinginkan dalam seni bonsai ini dan seiring peningkatan usia, saya sudah perlahankan pembabitan dalam bidang ini.
“Biarpun begitu, penjagaannya saya tidak abaikan dan saya pastikan bonsai sentiasa dalam keadaan baik termasuk menyiram air, memangkas dan membaja mengikut kesesuaian masa serta keperluan pokok,” katanya.
Menurutnya, antara cabang seni bonsai adalah mengecilkan pokok dalam pasu, membentuk gaya bonsai dan seni batu seperti tumbuhan unik itu berada di habitat semula jadinya.
“Untuk membentuk bonsai, dawai aluminium digunakan supaya pokok dapat menjalar mengikut bentuk atau arah yang kita mahukan.
“Selain itu, saya turut mempunyai kemahiran ‘penjin’ iaitu menggabungkan pokok dengan batu untuk membentuk landskap mini sebagai karya seni. Batu tiruan ini saya hasilkan sendiri daripada simen dan konkrit yang lebih ringan,” katanya.
Jelasnya, pemilik bonsai perlu melengkapkan diri dengan ilmu berkenaan bonsai kerana penjagaan dan keperluannya berbeza mengikut spesies.
“Bukan setakat mengingati nama spesies, cara hidup bonsai juga berbeza. Ada yang sesuai ditanam di bawah teduhan, ada yang perlukan cahaya matahari secara terus, ada pokok yang perlukan air yang kurang dan kekerapan pembajaan yang berbeza.
“Perkara ini perlu dititikberatkan supaya pokok sentiasa sihat dan dapat hidup subur,” katanya.
Tambahnya, proses mendapat bonsai yang matang memerlukan banyak langkah dan masa lama.
“Proses ini kadangkala boleh mengambil masa sehingga puluhan tahun untuk mendapat bentuk pokok yang diinginkan. Malah, saya sendiri memiliki pokok berusia 20 tahun.
“Oleh itu, pemiliknya memerlukan tahap kesabaran, disiplin dan ketelitian tinggi supaya bonsai dapat mencapai tahap kematangan yang diinginkan,” katanya.
Mohd Rosli mengakui melukis dan seni bonsai memberi kepuasan dan keseronokan berbeza.
“Lukisan boleh disiapkan dalam masa singkat.
“Seni bonsai adalah seni hidup. Untuk mendapatkan bentuk dan kematangan yang diinginkan mengambil masa lama dan apabila kita dapat hasil yang diinginkan, ia memberikan kepuasan yang sukar digambarkan dengan kata-kata,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd