Impian tunai umrah lesap, mangsa penipuan tuntut keadilan

Impian tunai umrah lesap, mangsa penipuan tuntut keadilan

KUALA LUMPUR: Seramai 31 individu, kebanyakannya suri rumah daripada golongan B40, tampil memfailkan tuntutan mahkamah selepas mendakwa menjadi mangsa penipuan pakej tajaan umrah yang ditawarkan seorang individu bergelar ‘Datuk’.

Wakil kumpulan mangsa terbabit, Rosmawati Mansor, 51, berkata, mereka mengalami kerugian mencecah lebih RM300,000 setelah membuat bayaran penuh bagi pakej umrah yang ditawarkan pada kadar antara RM3,500 hingga RM6,000 seorang.

Menurutnya, tuntutan itu difailkan pada Disember tahun lalu selepas syarikat milik individu terbabit gagal menguruskan perjalanan umrah seperti dijanjikan atau memulangkan kembali wang mereka.

“Kami percaya hampir 1,000 individu turut menjadi mangsa penipuan ini sejak pakej tajaan tersebut diperkenalkan sekitar 2023.

“Namun, ramai yang tidak membuat laporan polis atau tindakan undang-undang kerana faktor usia dan masih terpedaya dengan janji manis individu tersebut.

“Kami dijadualkan berlepas ke Tanah Suci secara berperingkat antara November 2023 hingga April 2024, tetapi sehingga kini ia tidak berlaku,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Namun jelasnya, penerbangan mereka ditunda berkali-kali atas alasan syarikat mengalami masalah kewangan walaupun bayaran penuh telah diselesaikan lebih awal.

Selain itu, Rosmawati mendedahkan bahawa mangsa bukan sahaja ditipu dengan janji pakej umrah, tetapi turut dijanjikan peluang perniagaan dengan pemberian produk minuman kesihatan secara percuma.

“Malangnya, bukan sahaja umrah tidak menjadi kenyataan, malah ada yang langsung tidak menerima produk yang dijanjikan.

“Kami rasa sangat teraniaya kerana wang yang dikumpul bertahun-tahun untuk menunaikan umrah lenyap begitu sahaja, lebih-lebih lagi kebanyakan mangsa terdiri daripada golongan B40 yang mahu menunaikan umrah buat kali pertama,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Abu Bakar Majid, 57, mendakwa mengalami kerugian lebih RM100,000 setelah terpedaya bukan sahaja dengan tawaran umrah, malah turut membayar untuk projek rumah mampu milik di Perak yang didakwa ditawarkan di bawah harga pasaran.

“Saya membayar RM24,650 untuk pakej umrah membabitkan enam ahli keluarga. Kemudian, individu yang sama menawarkan rumah dengan harga RM88,000 secara tunai.

“Saya menggunakan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk melangsaikan pembayaran rumah dan pakej umrah itu.

Malangnya, semuanya hanya penipuan,” katanya.
Tambahnya, dia sekarang terpaksa bekerja sebagai pemandu teksi untuk mencari rezeki dan membina kembali simpanan.

Sehubungan itu, kumpulan mangsa telah membuat laporan polis dan menuntut individu terbabit serta ejen-ejen yang mempromosikan pakej tersebut bertanggungjawab membayar kembali wang mereka dalam kadar segera.

“Kami tidak mahu bayaran dibuat secara berperingkat seperti sebelum ini. Ada antara kami yang ditipu sehingga RM75,000 hanya untuk pakej umrah. Kami mahukan pembayaran penuh segera,” tegasnya.

Scroll to Top