PETALING JAYA: Hasrat beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai untuk mempertahankan kejuaraan Terbuka Switzerland tidak kesampaian selepas tersingkir di suku akhir kejohanan itu, sebentar tadi.
Pasangan negara terpaksa akur selepas tewas straight set 18-21, 10-21 kepada gandingan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran dalam aksi yang berlangsung di St. Jakobshalle, Basel.
Dechapol-Supissara yang juga juara Terbuka Malaysia 2025 nyata lebih dominan dalam perlawanan itu, terutama pada set kedua apabila berjaya mengawal rentak permainan dan tidak memberi ruang kepada Soon Huat-Shevon untuk bangkit.
Kekalahan ini sekali gus menamatkan cabaran beregu negara yang sebelum ini tampil sebagai juara edisi 2024, manakala Thailand kini semakin kukuh sebagai pencabar utama dalam saingan beregu campuran dunia. – UTUSAN