Impian lakar kejutan musnah akibat kesilapan diri sendiri

Impian lakar kejutan musnah akibat kesilapan diri sendiri

sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Kejutan yang diidamkan Negeri Sembilan FC (NSFC) musnah dek kesilapan diri sendiri.

Ini rumusan daripada ketua jurulatih skuad Hobin Jang Hobin itu, K Nanthakumar yang akui begitu kecewa selepas anak buahnya gagal meneruskan momentum permainan terbaik.

Pada aksi suku akhir kedua saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam tadi, anak buah Nanthakumar beraksi cemerlang selepas berjaya menyamakan agregat 2-2 sesudah mendahului 2-0 mengatasi Terengganu FC (TFC) menerusi jaringan Hadin Azman dan A Selvan.

Namun ia hanya bertahan sehingga minit ke-40 sahaja apabila skuad Penyu berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan dua pemain pinjaman Johor Darul Ta’zim (JDT), Akhyar Rashid dan Safawi Rasid.

Bersambung babak kedua, pemain pertahanan, Muhammad Azam Azmi Murad dan rakan seposisi, Muhamad Shahrul Nizam Ros Hasni menamatkan saki baki perjuangan pasukan itu selepas masing-masing meledak gol ketiga dan keempat untuk menang dengan agregat 6-2.

“Dalam 30 minit pertama, kita berjaya menjaringkan dua gol untuk menyamakan agregat 2-2 selepas tumpas 0-2 pada aksi suku akhir pertama di Seremban minggu lalu.

“Tapi dua jaringan tuan rumah sebelum babak pertama tamat bagaikan menyentak semangat pemain kami sebelum dua lagi jaringan yang sekali gus meranapkan impian kami untuk mengintai peluang ke separuh akhir.

“Kesilapan terutama di barisan pertahanan sepatutnya boleh dielakkan, namun ia tidak menjadi kenyataan biarpun pada waktu rehat babak pertama saya ingatkan pemain agar memperkemaskan lagi jentera pertahanan.

“Begitu juga posisi serangan perlu sekurang-kurangnya mendapat satu lagi jaringan untuk menyuntik lagi semangat pemain, namun kita tidak berjaya selain corak permainan nampak sedikit perlahan.

“Harap pemain dapat melupakan kekalahan ini sebaliknya bangkit untuk menamatkan baki saingan Liga Super sekurang-kurangnya di tempat yang ke-10,” kata bekas bek Terengganu itu yang akui sedikit tertekan dengan kedudukan terkini pasukan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top