Impian Aina Abdul jayakan konsert jelajah tercapai

Impian Aina Abdul jayakan konsert jelajah tercapai

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi popular Aina Abdul tidak dapat menahan sebak kerana impian untuk mengadakan konsert jelajah pertamanya iaitu Konsert Aina Abdul Imaji Tour akhirnya kesampaian pada tahun ini.

Aina atau nama sebenarnya, Nurul Aina Abdul Ghani, 30, berkata, dia juga berdepan cabaran besar dan hampir berputus asa untuk mengadakan konsert jelajah itu terutamanya membabitkan soal penajaan.

“Sebenarnya, saya dan team (pasukan) sudah merancang hampir setahun untuk mengadakan konsert jelajah ini.

“Saya tak sangka akan ‘breakdown’ sebegini. Maklumlah, saya sudah bertahun di dalam industri seni, satu benda yang saya belajar adalah untuk mengadakan sebuah konsert ini sangat susah,” katanya kepada Harian Metro.

Aina ditemui pada sidang media konsert Aina Abdul Imaji Tour yang berlangsung di sebuah hotel di sini, petang tadi.

Mengenai konsert jelajah lagi, kata penyanyi lagu Jangan Mati Rasa Itu, meskipun berdepan dengan banyak ‘rejection’ (penolakan) membabitkan penajaan, pihaknya tetap akan menjayakan konsert jelajah yang sudah dirancang itu.

“Saya bagi tahu team (pasukan) walaupun tahun ini sangat sukar, dimana kami berhadapan dengan banyak ‘rejection’ (penolakan) Aina Abdul Entertainment tetap akan berada di sini untuk menjayakan konsert yang sudah lama di rancang.

“Saya juga sanggup keluar duit sendiri untuk merealisasikan konsert ini seperti direncanakan.

“Namun, pihak kami masih mengalu-alukan jika ada pihak yang berminat untuk menaja konsert jelajah ini,” katanya.

Ditanya konsert lagi, kata Aina, dia merancang untuk mengadakan konsert jelajah itu untuk membuktikan kemampuan dirinya sendiri.

‘Salah satu impian saya adalah untuk mengadakan konsert jelajah kerana saya membesar dengan melihat idola-idola saya mengeluarkan album dan membuat ‘showcase’ atau konsert mereka sendiri.

“Jadi, saya juga mahu buat perkara yang sama. Bukan niat untuk berlawan dengan sesiapa tapi saya nak buktikan kepada diri sendiri yang saya boleh lakukan dan satu hari nanti saya boleh cerita pada anak cucu,” katanya.

Konsert Aina Abdul Imaji Tour akan berlangsung di tiga lokasi berbeza iaitu Universiti Malaysia Sarawak pada 14 Disember depan, Zepp Kuala Lumpur (27 Disember) dan Universiti Utara Malaysia (11 Januari 2025)

Tiket untuk Aina Abdul Imaji Tour akan mula dijual bermula 10 September, jam 10 pagi di www.ticket2u.com.my

 

© New Straits Times Press (M) Bhd