Imbasan bagasi di KLIA diperketatkan

Imbasan bagasi di KLIA diperketatkan

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Saringan dan imbasan bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan diperketat bagi membendung insiden penyeludupan dan perdagangan hidupan liar ke luar.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) sudah diarahkan untuk melaksana tindakan perlu khususnya untuk memastikan setiap bagasi penumpang diimbas.

“Kita sedar insiden ini dan kita sedang memantau dan MAHB sedang membuat penambahbaikan kepada fasiliti termasuk mesin pengimbas ini.

“Memang kita mahu mesin pengimbas ini ditambah baik dan kita sudah beri arahan kepada MAHB untuk memantau dan memperkukuh semula SOP berkaitan imbasan bagasi penumpang,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Kiosk Sentuhan Madani@KL Sentral di sini, hari ini.

Turut sama hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Beliau berkata, pihaknya sama sekali tidak akan berkompromi dengan insiden ini dan mahu tindakan lebih tegas diambil terhadap mereka.

“Ini adalah perkara yang kita tak boleh kompromi dan kita sudah perkukuh saringan terutama ke atas ‘Hand Luggage’ supaya (bagasi yang dikesan membawa) hidupan liar boleh dikeluarkan daripada penerbangan,” katanya.

Media hari ini melaporkan, dua individu yang tiba dari Kuala Lumpur ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Anna di Chennai, India selepas cuba menyeludup sejumlah primat, seekor musang dan seekor musang polecat dalam bagasi pada 7 Mac lalu.

Insiden itu berlaku pada hari sama Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad membuat pemeriksaan di Terminal 2 KLIA berhubung penguatkuasaan terhadap kegiatan penyeludupan hidupan liar.

Mengulas insiden panel dinding runtuh di Stesen LRT Masjid Jamek, semalam, beliau berkata, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) sudah mengambil tindakan segera untuk memperbaiki kerosakan.

“Sudah disahkan tidak ada apa-apa kecederaan. Pembaikan dan penyelenggaraan (di semua stesen LRT) memang dibuat sepanjang masa tapi kadangkala perkara ini adalah kes kecemasan,” katanya.

Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) selaku pengendali perkhidmatan LRT dalam kenyataan semalam turut memaklumkan, satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyiasat punca kejadian itu secara terperinci untuk memastikan struktur binaan Stesen Masjid Jamek selamat.

Ā© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top