Ilmuwan sepatutnya berperanan menyampaikan ilmu sebagai dakwah, ibadah

Ilmuwan sepatutnya berperanan menyampaikan ilmu sebagai dakwah, ibadah

PEPATAH Arab menyatakan, ‘Ilmu tanpa amalan ibarat pohon yang tidak berbuah’ yang membawa maksud sebesar mana pun sesuatu pokok itu, ia tetap tidak dapat memberikan manfaat sekiranya tidak menghasilkan atau mengeluarkan buah.

Begitulah juga perumpamaannya dengan ilmu, sehebat atau setinggi mana ilmu seseorang itu, tetapi jika tidak diamalkan atau dikongsikan samalah dia seperti pohon yang tidak berbuah.

Maka benarlah ungkapan Imam Al-Ghazali: “Sesungguhnya hati manusia itu mati kecuali orang yang berilmu. Sesungguhnya orang yang berilmu itu lena kecuali mereka yang beramal. Sesungguhnya orang yang beramal itu tertipu kecuali mereka yang ikhlas.”

PEPATAH Arab, 'Ilmu tanpa amalan ibarat pohon yang tidak berbuah'. Foto CANVA

PEPATAH Arab, ‘Ilmu tanpa amalan ibarat pohon yang tidak berbuah’. Foto CANVA

Berbicara mengenai ilmu, pendakwah Ustaz Mohammad Nasrullah Che Hamid menjelaskan, seseorang yang mempunyai ilmu dan diiktiraf pula oleh institusinya, dia perlulah menyebarkan ilmunya dengan kadar yang dia yakini kesahihan ilmu tersebut.

“Ini kerana supaya ilmu tersebut tidak terhenti pada dirinya sendiri. Dengan ilmu yang dipelajari dan dikongsikannya, ia akan dimanfaatkan pula oleh masyarakat,” katanya kepada Sinar Islam Plus.

Jelasnya, ia sesuai dengan jawapan Imam Ahmad ketika ditanya mengenai apakah yang perlu diniatkan oleh penuntut ilmu? Beliau menjawab:

“Berniat untuk mengangkat kejahilan pada diri, kemudian kejahilan pada orang lain (dengan mengajarkan ilmunya).”

Tambahnya, menyebarkan ilmu yang dipelajari termasuk dalam perihal zakat ilmu.

USTAZ MOHAMMAD NASRULLAH

USTAZ MOHAMMAD NASRULLAH

“Apatah lagi jika kos pembelajarannya ditanggung oleh wang zakat dan sumbangan awam.

“Maka lebih aula (utama) untuknya menyebarkan ilmu sekadar apa yang dia dapati walau dengan apa wasilah (cara) sekalipun,” jelasnya.

Ustaz Mohammad Nasrullah turut mengingatkan bahawa penyakit menyembunyikan ilmu adalah perkara yang amat merugikan umat Islam itu sendiri.

“Abd Ar-Rahman Ibnu Ahmad Ibnu Rajab pernah memberikan pandangan dalam isu ini.

“Katanya, menyembunyikan ilmu yang bermanfaat menjadi sebab tersebarnya kejahilan dan maksiat. Hal ini membawa kepada terhalangnya turun hujan dan menjemput turunnya bala.

“Sehingga seluruh makhluk di bumi terkena musibah dan binasa disebabkan dosa-dosa anak Adam. Maka binatang-binatang melaknat mereka yang menjadi penyebab akan perkara tersebut,” jelasnya seperti dipetik dalam kitab Majmu’ ar-Rasail.

PELBAGAI cara untuk menyampaikan ilmu termasuk melalui podcast atau video-video pendek. Foto CANVA

PELBAGAI cara untuk menyampaikan ilmu termasuk melalui podcast atau video-video pendek. Foto CANVA

Ujarnya, maka inilah tugasan ilmuwan iaitu menggerakkan dakwah dengan pelbagai cara termasuk penulisan, syarahan atau apa-apa sahaja saluran yang dibenarkan agama.

Scroll to Top