IKEA Malaysia meraikan satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan kelestariannya dengan pelancaran 2,668 panel solar di Ikea Damansara menjadikan gedung itu kini mempunyai 20,437 panel solar yang sudah dipasang di semua rangkaiannya di seluruh negara.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, peranan sektor swasta amat penting dalam memacu matlamat iklim negara.
Katanya, peralihan ke arah masa depan rendah karbon dan tahan iklim tidak hanya digalas atau menjadi tanggungjawab kerajaan sahaja.
“Usaha dan tanggungjawab ini memerlukan pendekatan seluruh negara dan sektor swasta menjadi rakan penting dalam menggerakkan agenda kelestarian ini ke hadapan.
“Ikea menunjukkan bahawa memelihara alam sekitar dan mengurus perniagaan dengan baik boleh berjalan seiring kerana melalui pemasangan solar ini, mereka mampu menjimatkan kira-kira RM1 juta kos tenaga,” katanya selepas merasmikan pemasangan panel solar baharu di bumbung Ikea Damansara sempena Hari Bumi Sedunia di sini, semalam.
Hadir sama, Pengarah Runcit Negara Ikea Malaysia, Malcolm Pruys.
Dengan meliputi kawasan bumbung hampir 12,000 meter persegi, pemasangan solar itu dijangka dapat menjana 2 megawatt jam (MWj) tenaga setiap tahun, menyumbang sehingga 25 peratus daripada keperluan tenaga gedung terbabit, serta mengurangkan pelepasan karbon sebanyak kira-kira 1,330 tan setahun.
Dengan penambahan ini, Ikea Malaysia kini mempunyai lebih 20,437 panel solar yang dipasang di semua gedung di seluruh negara dan jumlah kapasiti gabungan kesemua pemasangan ini menjadikan penjanaan tenaga boleh diperbaharui Ikea Malaysia mencecah 6.3 MWj setahun.
Selain penerapan tenaga solar, Ikea Malaysia turut terus melabur dalam operasi gedung yang lestari serta mengurangkan jejak karbon di sepanjang rantaian nilainya.
Ikea Cheras pula menjadi gedung Ikea pertama di dunia yang memperoleh pensijilan Emas Indeks Bangunan Hijau (GBI) Malaysia dan juga pensijilan LEED Emas, pencapaian yang kemudiannya diikuti oleh Ikea Batu Kawan.
© New Straits Times Press (M) Bhd