IIFS jadi pemangkin idea berani, inovatif – Anwar

IIFS jadi pemangkin idea berani, inovatif – Anwar

Kuala Lumpur: Penubuhan Institut Kajian Masa Depan Antarabangsa (IIFS) berpotensi menjadi pemangkin kepada idea berani dan inovatif, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata institut seumpama itu mampu mengangkat kedudukan Universiti Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebagai peneraju global dalam pengajian masa depan dan seterusnya.

“Penubuhan institut sebegini dalam universiti Malaysia dan Islam adalah tepat pada masanya.

“Kajian masa depan bukan trend sementara. Ia adalah disiplin yang ketat dan kepentingannya semakin meningkat tahun demi tahun,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran buku berjudul A Malik Bennabi Reader dan IIFS oleh UIAM di sini hari ini.

Anwar berkata pandangan daripada kajian masa depan telah mempengaruhi rangka kerja dasar seperti SCRIPT (Sustainability, Care & Compassion, Respect, Innovation, Prosperity and Trust) dan Malaysia Madani.

Oleh itu, Perdana Menteri berharap IIFS dapat memperkukuhkan asas, melahirkan pemikir dan pembuat dasar yang bersedia untuk menghadapi cabaran pada masa akan datang.

IIFS berperanan dalam meneroka perspektif masa depan dunia Islam melalui kajian strategik dan pelbagai disiplin ilmu serta bakal menjadi pusat rujukan utama dalam bidang pemikiran Islam, falsafah dan pembangunan global.

Mengenai A Malik Bennabi Reader, Anwar berkata buku itu menghimpunkan gagasan dan pemikiran seorang pemikir Muslim abad ke-20, Malik Bennabi, yang menekankan kepentingan reformasi intelektual dan spiritual bagi kebangkitan tamadun Islam.

“Usaha intelektual seperti A Malik Bennabi Reader dan penubuhan IIFS adalah langkah penting ke arah menghidupkan semula semangat Convivencia, era gemilang pengetahuan dan perubahan yang satu ketika dahulu mencorakkan Al-Andalus.

“Besar harapan saya agar Malaysia juga dapat menghayati semangat ini, menjadi wadah kepada pertemuan idea, budaya dan kebijaksanaan,” katanya.

Buku itu menekankan pendekatan Bennabi terhadap ijtihad dan pemikiran kritikal berpandukan al-Quran dan Sunnah, dalam menangani cabaran moden selain menggariskan kepentingan keseimbangan antara nilai-nilai Islam dengan realiti politik dan ekonomi, sekali gus memberikan penyelesaian jangka panjang kepada isu dihadapi dunia Islam.

Hadir sama pada majlis pelancaran itu ialah Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan dan Presiden UIAM Tan Sri Samsudin Osman.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top