
Selain berbuka puasa bersama, NexG Berhad diketuai Ab Hamid (tiga dari kanan) turut menyampaikan sumbangan duit raya. Foto Mohd Halim Abdul Wahid
NEXG Berhad sekali lagi mengukuhkan komitmennya dalam mempererat hubungan dengan masyarakat melalui penganjuran Majlis Iftar Ramadan NexG 2025 berlangsung meriah di Sofitel Kuala Lumpur Damansara di sini.
Acara penuh bermakna ini bukan sekadar satu majlis berbuka puasa, tetapi juga satu simbol kesyukuran, keprihatinan, dan semangat kebersamaan dalam menyambut bulan suci Ramadan.
50 anak-anak yatim dan asnaf dari Yayasan Anak-Anak Yatim Wardatul Jannah dan Pertubuhan Kebajikan Asnaf Al Barakh Malaysia menjadi tetamu istimewa, disambut mesra ahli lembaga pengarah dan pengurusan NexG Berhad dalam suasana penuh kasih sayang.
Pengarah Eksekutif NexG Berhad, Datuk Ab Hamid Mohamad Hanipah ketika berucap pada majlis berkenaan menekankan bahawa majlis berkenaan dianjurkan adalah lebih daripada sekadar acara tahunan.
“Majlis iftar Ramadan NexG 2025 adalah manifestasi kepada komitmen NexG dalam melaksanakan tanggungjawab sosial secara berterusan.
“Kami percaya bahawa nilai-nilai murni yang dipupuk menerusi inisiatif ini mampu menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk terus menyemai semangat kesukarelawanan dan membantu mereka yang memerlukan,” ujarnya.

50 anak-anak yatim bersama ahli lembaga pengarah dan pengurusan NexG Berhad dalam suasana penuh kasih sayang. Foto Mohd Halim Abdul Wahid
Selain berbuka puasa bersama, NexG Berhad turut menyampaikan sumbangan kepada kedua-dua rumah kebajikan sebagai tanda sokongan berterusan terhadap kebajikan anak-anak yatim dan asnaf.
Sesi ramah mesra antara para tetamu dan anak-anak ini menyuntik suasana penuh kegembiraan, mencerminkan semangat kepedulian yang menjadi tunjang kepada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) NexG Berhad.
“Sebagai sebuah organisasi yang berpandangan jauh, kejayaan kami bukan hanya diukur daripada pencapaian perniagaan, tetapi juga sejauh mana kami dapat memberi manfaat kepada masyarakat.
“Kehadiran anak-anak ini sangat bermakna bagi kami, kerana inilah masa untuk kita berkongsi rezeki dan kasih sayang sebagai satu keluarga besar,” tambah Ab Hamid.
Dengan kehadiran tetamu dari pelbagai latar belakang, majlis ini bukan sahaja memperkukuhkan hubungan antara NexG dengan masyarakat, tetapi juga menjadi platform bagi syarikat untuk terus mengorak langkah dalam usaha membantu golongan memerlukan.
NexG berharap agar usaha sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang, memberi manfaat kepada lebih ramai insan yang memerlukan, dan menjadi inspirasi kepada syarikat lain untuk turut serta dalam kerja-kerja kebajikan.