Ifa Raziah profesional, tidak peduli pihak pandang rendah kemampuannya

Ifa Raziah profesional, tidak peduli pihak pandang rendah kemampuannya

am@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Penyanyi dan usahawan, Ifa Raziah, 49, mendedahkan masih ada segelintir pihak yang memandang rendah pada kemampuannya selaku penganjur acara.

Ifa atau nama sebenarnya, Saripah Raziah Mustapha berkata, pihak yang tidak mempercayai kepakarannya itu adalah pesaing kepada syarikatnya.

“Masih ada orang yang mempersoalkan sama ada saya boleh menganjurkan acara atau tidak?

“Sedangkan, saya sudah sekian lama menjadi penganjur acara dan masih terus bertahan dengan edisi ke-16 ini,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media Starvendors KL Mega Raya Festival 2025 yang diadakan di sini, baru-baru ini.

Kata Ifa lagi, pihak yang skeptikal padanya adalah pesaing dalam bisnes yang diusahakannya itu.

“Sekurang-kurangnya, saya berani mencuba dan lebih suka bersaing secara sihat dalam perniagaan,” katanya.

Bagaimanapun, kata Ifa, dia tidak mahu ambil pusing dengan kritikan orang padanya.

“Saya sama sekali tidak gentar untuk memberikan yang terbaik terhadap perniagaan yang diusahakan.

“Masalahnya, sekarang adalah terlalu banyak sangat acara yang berlaku pada tarikh yang sama tetapi tidak ada vendor.

“Lagi satu apa yang saya nampak, ada juga yang baru nak jadi penganjur tapi aspek pemasaran, produk dan jenama mereka tak cukup kuat,” katanya.

Diminta mengulas dakwaan dia sudah ‘downgrade’ kerana memilih lokasi baharu bagi acara membeli-belah Starvendor KL Mega Raya Festival 2025 pula, Ifa menafikannya.

“Sebenarnya, saya tak ‘downgrade’ pun, sama sahaja. Cuma, kita nak keluar ke lokasi baharu.

“Kita sudah dua tahun buat di Pusat Dagangan Dunia (WTC) dan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) jadi kali ni saya mahukan kelainan. Kita tukar tempat yang orang boleh memasak untuk sahur dan moreh.

“Pada masa sama, pihak kita juga mensasarkan seramai 800,000 hingga 1 juta pengunjung dalam masa 80 jam pada acara yang berlangsung nanti,” katanya.

Starvendors KL Mega Raya Festival 2025 akan berlangsung selama 80 jam tanpa henti bermula dari 20 hingga 24 Mac di KL Base, Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Acara ini juga dimeriahkan dengan penyertaan seramai 50 selebriti terkenal tanah air seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Fizz Fairuz, Datuk Afdlin Shauki, Cha Cha Maembong, Ramlah Ram, Noraniza Idris dan ramai lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top