ICQS Rantau Panjang lengang, pekan Golok sunyi

ICQS Rantau Panjang lengang, pekan Golok sunyi

am@hmetro.com.my

Rantau Panjang: Suasana di hadapan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, di sini, hari ini, yang biasanya sesak dengan kenderaan dan pengunjung, bertukar lengang susulan insiden tembakan dan letupan bom di Sungai Golok, malam tadi.

Kebiasaannya, pintu masuk ICQS akan mula dipenuhi dengan deretan kereta seawal 4 petang setiap hari pada Ramadan, memandangkan pekan Golok menjadi lokasi tumpuan bazar Ramadan serta tempat berbuka dalam kalangan warga tempatan.

Bagaimanapun, tinjauan hari ini jalan keluar masuk antara dua negara itu tidak semeriah sebelumnya, dan kebanyakan kenderaan dengan nombor pendaftaran Thailand sahaja yang menuju masuk ke Golok.

Penduduk, Amran Razali, 52, berkata dia sendiri dapat mengagak akan berlaku pengurangan mendadak pengunjung ke Golok kerana apa yang berlaku malam tadi benar-benar menakutkan, ditambah pula membabitkan mangsa yang meninggal dunia.

“Biasanya, situasi sebegini berpanjangan selama seminggu sebelum ia kembali normal tetapi bergantung kepada keadaan semasa.

“Sebagai anak jati Rantau Panjang, sebenarnya bunyi bom itu perkara biasa tetapi apa yang berlaku malam tadi agak menakutkan, ditambah pula dengan penyebaran video di media sosial menunjukkan insiden tembakan,” katanya ketika ditemui berdekatan ICQS Rantau Panjang, di sini.

Sementara itu, penduduk pekan Golok, Narah Sapurah, 45, ketika dihubungi berkata, suasana di pekan itu juga agak sunyi pada hari ini dengan kebanyakan gerai jualan makanan ditutup, berkemungkinan besar susulan tragedi yang berlaku malam tadi.

“Saya sendiri tidak berani keluar sepanjang hari ini dan hanya memasak di rumah untuk berbuka.

“Memandangkan kami mendapat maklumat kejadian berlaku di banyak tempat, bukan hanya di Golok sahaja, jadi ia agak membimbangkan,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, Pasukan Gerakan Am (PGA) mempertingkat kawalan keselamatan di sepanjang Sungai Golok susulan serangan bersenjata dan letupan bom di wilayah Narathiwat, Thailand, yang meragut nyawa dua sukarelawan polis serta mencederakan lapan yang lain, malam tadi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top