Ibu Neelofa Dedah Hidap Kanser Payudara

Ibu Neelofa Dedah Hidap Kanser Payudara

Ibu kepada selebriti dan usahawan Neelofa, Datin Noor Kartini Noor Mohammed, 59, mendedahkan dirinya menghidap kanser payudara tahap satu.

Kartini mendakwa perkara itu disahkan doktor selepas beliau menjalani ujian biopsi pada 17 Februari lalu.

“Keputusan ujian biopsi dan mamogram kurang cantik. Pada 20 Februari (Khamis lalu), doktor hubungi, dia cakap keputusan sudah keluar dan saya didiagnos kanser payudara tahap satu,” katanya ketika ditemuramah podcast Doncakap.

Mengakui kelu ketika disahkan menghidap kanser, Kartina mendedahkan sebaik berita dikongsi kepada suami dan anak-anak, mereka mula mengalirkan air mata.

“Apabila doktor cakap saya hidap kanser, saya bertanya kepada diri sendiri, apa kanser? Saya jadi bingung sekejap. Walaupun doktor sudah cakap, saya tidak takut, cuma terkejut.

“Anak-anak sudah menangis semua… Suami pun menangis sampai tidak boleh tidur,” katanya.

Menganggap pengesahan dirinya menghidap kanser sebagai suatu anugerah dari Tuhan, usahawan berasal dari Kelantan ini menerima berita terbabit dengan positif biarpun tidak pernah menyangka dijangkiti kanser.

“Apabila Allah bagi ini (penyakit kanser), saya anggap suatu anugerah dan kejutan. Saya tersedar rupanya saya juga dapat kanser,” katanya.

“Apabila doktor suruh buat biopsi, saya fikir mungkin ada ‘lump’, ‘cyst’ atau apa-apa yang lain. Kalau kata fikir mengenai kanser satu peratus pun tidak ada… Tidak pernah terfikir.

“Sebab itu, jangan fikir perkara seperti itu tidak akan berlaku kepada kita. Apa-apa boleh jadi dengan kehendak Allah,” katanya.

Turut mendedahkan perkara sama menerusi hantaran di Instagram Senok Perut Official, Kartini menambah dia akan memperlahankan urusan perniagaan dan mahu berehat.

“Alhamdulillah syukur kepada Allah dan sekarang ni masa untuk saya lalui proses penyembuhan. Atas permintaan anak-anak juga, mereka mahu saya berehat dan perlahankan bisnes,” katanya lagi.

Scroll to Top