Ibu Neelofa dakwa hidap kanser

Ibu Neelofa dakwa hidap kanser

affan.rostam@bh.com.my

Kuala Lumpur: Ibu Neelofa, iaitu Datin Noor Kartini Noor Mohammed mendakwa disahkan menghidap kanser payudara tahap satu.

Noor Kartini, 59, atau mesra disapa Mama mendakwa perkara itu disahkan doktor selepas beliau menjalani ujian biopsi pada 17 Februari lalu.

“Keputusan ujian biopsi dan mamogram kurang cantik. Pada 20 Februari (Khamis lalu), doktor hubungi, dia cakap keputusan sudah keluar dan saya didiagnos kanser payudara tahap satu,” katanya ketika ditemuramah podcast Doncakap yang disiarkan, semalam.

Noor Kartini mengaku kebingungan tatkala disahkan menghidap kanser, namun, sebaik berita dikongsi kepada suami dan anak-anak, mereka mula menangis.

“Apabila doktor cakap saya hidap kanser, saya bertanya kepada diri sendiri, apa kanser? Saya jadi bingung sekejap. Walaupun doktor sudah cakap, saya tidak takut, cuma terkejut.

“Anak-anak sudah menangis semua… Suami pun menangis sampai tidak boleh tidur,” katanya.

Bagaimanapun, Noor Kartini menganggap pengesahan dirinya menghidap kanser sebagai suatu anugerah dari Tuhan dan beliau menerima dengan positif.

“Apabila Allah bagi ini (penyakit kanser), saya anggap suatu anugerah dan kejutan. Saya tersedar rupanya saya juga dapat kanser,” katanya.

Noor Kartini mengaku tidak pernah menyangka dijangkiti kanser.

“Apabila doktor suruh buat biopsi, saya fikir mungkin ada ‘lump’, ‘cyst’ atau apa-apa yang lain. Kalau kata fikir mengenai kanser satu peratus pun tidak ada… Tidak pernah terfikir.

“Sebab itu, jangan fikir perkara seperti itu tidak akan berlaku kepada kita. Apa-apa boleh jadi dengan kehendak Allah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top