Seorang ibu minta maaf kerana terpaksa menghantar anak lelakinya ke asrama pada usia yang sepatutnya berada di sampingnya di rumah.
Namun, demi ilmu dan masa depan, dia terpaksa berbuat demikian bagi memudahkan urusan harian anak daripada terpaksa berulang-alik dari rumah ke sekolah dengan menaiki bot.
Menerusi hantaran dikongsikan ibu kepada pelajar bernama Faliq, 9, dilihat suasana bilik asrama kanak-kanak itu pada hari pertama.
“Mommy minta maaf terpaksa hantar Faliq tinggal di asrama.
“Mommy rindu Faliq separuh nyawa. Mungkin Faliq agak sukar untuk adaptasi untuk minggu pertama tapi tidak mengapa sayang. Ramai doakan Faliq.
“Tolong doakan sekali Mommy masih menangis di tepi bucu katil setiap malam,”tulis si ibu berserta tanda pagar ‘anak pulau’.
Artikel lain: Bapa menangis dalam kereta, sebak hantar anak hari pertama masuk sekolah
Kongsi si ibu, mereka sekeluarga menjemput anak kecil itu untuk kembali pulang ke rumah pada hujung minggu.
Video berdurasi 40 saat itu juga memperlihatkan anak lelakinya menyeka air mata disaat melihat keluarganya datang melawat dan menjemputnya pulang ke rumah.
“Lepas lima hari Mommy datang nak bawa Faliq balik untuk hujung minggu,”katanya.
Awalnya masuk asrama…
Perkongsian itu menerima pelbagai reaksi dalam kalangan warganet di mana rata-rata mereka meninggalkan soalan kepada ibu kanak-kanak itu mengenai kesediaan si anak berpisah daripada keluarga pada usia yang masih mentah.
Mereka juga berpendapat tidak patut memasukkan anak ke asrama, lebih-lebih lagi pada usia 9 tahun.
Pun begitu, ramai memberi kata-kata semangat dan memahami akan alasan si ibu bapa berbuat demikian lebih-lebih lagi mereka menetap di Pulau Tioman.
Sumber: TikTok mommysaurus88