Ibu dijel kerana cuai sehingga kaki bayinya melecur teruk

Ibu dijel kerana cuai sehingga kaki bayinya melecur teruk

Taipei City: Seorang wanita di Taiwan dihukum penjara lima bulan dan denda NT$150,000 (kira-kira RM20,208) kerana menyebabkan kaki bayinya melecur teruk hingga tiga jari dipotong akibat kecuaiannya.

South China Morning Post (SCMP) melaporkan, insiden malang itu berlaku pada 16 September 2023 selepas Wu tertidur ketika menggunakan pengering rambut untuk mengeringkan cadar bayinya yang baru lahir.

Berikutan itu, kaki bayinya terdedah kepada bahang panas selama tiga jam.

Wu hanya terjaga pada jam 4 petang sebelum mendapati kaki anak perempuannya melepuh hingga terpaksa menghubungi pasukan kecemasan untuk membawa anaknya ke hospital.

Hasil pemeriksaan lanjut, pakar perubatan mendapati luka akibat melecur meliputi 15.5 peratus daripada luas permukaan badan bayi, dan ia mengakibatkan kerosakan tisu yang tidak boleh diperbaiki walaupun ada rawatan.

Akibatnya, tiga jari kaki bayinya terpaksa dipotong.

Susulan kejadian itu, Wu berdepan pendakwaan kerana kecuaian yang mengakibatkan kecederaan parah.

Ketika perbicaraan, Wu memberi alasan dia tidur nyenyak kerana kesan pengambilan ubat kemurungan selepas melahirkan cahaya mata..

Wu percaya haba itu boleh dikawal dan tidak menyangka pengering rambut boleh menyebabkan kesan melecur teruk.

Bagaimanapun, hakim menegaskan sebagai penjaga utama, Wu sepatutnya mempertimbangkan dengan teliti kemungkinan bayinya yang baru lahir secara tidak sengaja boleh beralih kedudukan dengan berguling atau menendang.

Ia juga diakui secara meluas bahawa pendedahan berpanjangan kepada pengering rambut boleh menyebabkan luka melecur pada kulit manusia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top