norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ketua kumpulan Rabbani, Azadan Abdul Aziz, 52, kehilangan ibu tercinta, Allahyarham Khadijah Abdul Jamal, 84, yang meninggal dunia dalam tidur di kediaman abang sulungnya di Kuang, Selangor, pagi ini.
Azadan berkata, arwah ibunya itu sudah dua tahun terlantar sakit akibat pembuluh darah di otak pecah pada 24 Ogos 2022 dan pernah koma lebih tiga bulan di Hospital Sungai Buloh.
“Arwah ibu saya dah lama terlantar sakit dan memang tinggal serta dijaga rapi di rumah abang sulung saya sejak dua tahun lalu. Cuma, arwah disedari meninggal dunia dalam tidur pada jam 6 pagi, hari ini.
“Kami sekeluarga reda dengan pemergian ibu. Malah, dalam beberapa bulan kebelakangan ini pun keadaan kesihatannya sudah menunjukkan semakin merosot,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Azadan, selama dibenarkan pulang ke rumah untuk dijaga rapi oleh abang dan kakak iparnya, arwah sudah tidak boleh bercakap serta bergerak dan hanya terlantar di atas katil dalam keadaan separa sedar.
“Arwah ibu memang dah tak boleh makan melainkan minum susu menerusi tiub saja. Tapi, kami adik-beradik memang berulang-alik ke rumah abang menziarah dan menjaga ibu bersama-sama.
“Nasihat saya, sesiapa yang masih ada ibu, jagalah ibu. Jaga hati ibu, sayangi ibu dan bahagiakan ibu masing-masing. Insya Allah, banyakkan doa agar kita semua mati dalam husnul khotimah,” katanya.
Allahyarham Khadijah meninggalkan 10 cahaya mata iaitu sembilan lelaki dan seorang wanita serta lebih 30 cucu.
Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu Kundang di sini, selepas solat Zuhur.
© New Straits Times Press (M) Bhd