Pelajar Malaysia di Taiwan, Liyana Yamin tiada masalah dalam mempraktikkan Islam di negara tersebut meskipun pada awalnya berdepan cabaran sebagai anak perantauan.
Tiada masalah praktik Islam di bumi Taiwan
Selain menjadi masyarakat Islam minoriti, dia mengakui kekangan bahasa juga antara cabaran dihadapi sebelum mengambil masa untuk fasih sekali gus kini mampu menjadi penterjemah separuh masa bahasa Mandarin.
“Cabaran utama adalah mempraktikkan Islam, perlu merancang sekiranya mahu kemana-mana seperti mencari tempat makan halal dan solat. Namun secara keseluruhan, penerimaan masyarakat Taiwan adalah baik dan ramah.
“Tiada masalah jika saya tersesat jalan, mereka akan tunjukkan arah yang betul.
“Begitu juga dengan bahasa, pada mulanya agak sukar untuk difahami kerana tidak biasa. Namun lama-kelamaan saya sudah biasa dengan bahasa Mandarin,” kata calon doktor falsafah (PhD) itu kepada Oh My Media ketika ditemui di Taipei, Taiwan baru-baru ini.
Sementara itu, ditanya mengapa memilih Taiwan untuk melanjutkan pengajian, pelajar bidang Saintis Sosial Marin di National Taiwan Ocean University itu mempunyai alasan tersendiri.
“Pada mulanya saya dapat tahu Kementerian Pelajaran Taiwan ada menawarkan biasiswa untuk pelajar PhD, jadi saya mencuba nasib untuk memohon. Selain itu, saya minat untuk mempelajari bahasa Mandarin.
“Ia memberi kelebihan, sambil menuntut ilmu boleh juga fasihkan diri dalam bahasa Mandarin,” ujarnya yang sudah lima tahun menetap di bumi asing tersebut.
Artikel lain: Lapar di Taiwan? Tak perlu risau! Ini tempat makan halal, ‘Mesra-Muslim’ yang perlu dikunjungi
Pada masa sama, Liyana memaklumkan mengenai perancangan untuk bekerja di Taiwan yang telah dianggap sebagai rumah keduanya sebaik dijadual menamatkan pengajian pada tahun depan.