georgie@hmetro.com.my
DI Korea Selatan, pelakon, Kim Hye-soo sudah terlalu layak diberi gelaran primadona. Apa lagi watak yang tidak pernah digalasnya? Semua sudah dan terbukti kecemerlangannya dalam setiap naskhah.
Pada usia 54 tahun, Hye-soo terus mendedikasikan kudratnya menjadi anak seni. Hakikatnya, dia masih menjadi rebutan dan terlalu laris untuk menggalas watak utama dalam pada pelakon baharu hadir bersilih ganti.
Profilnya terlalu megah dan pelakon lebih muda lain pun dahagakan peluang bergandingan dengannya. Dia adalah mentor tepat untuk berguru kerana bakat lakonannya terlalu agung.
Namun, Hye-soo enggan meletak takhta tinggi dalam dirinya. Apabila berada di set penggambaran, dia tetap profesional dan melayan setiap yang terbabit sama rata termasuk pelakon baharu.
“Walaupun sudah lama berlakon, saya tidak pernah rasa diri ini seperti mentor. Bila bekerja dengan orang muda, usia bukan satu isu.
“Malah banyak yang saya belajar daripada mereka. Saya tidak terasa pun hendak panggil mereka ‘mentee’ sebaliknya melayan mereka sebagai rakan gandingan atau sekerja,” katanya.
Bagi Hye-soo, proses memajukan diri tidak pernah berkesudahan. Dia sentiasa mengambil peluang menimba ilmu daripada yang muda apabila terbabit dalam mana-mana projek.
“Misalnya dalam proses perbincangan mengenai skrip. Saya kagum mereka sangat mendalaminya dan berkongsi idea yang saya sendiri tidak terfikir.
“Mereka benar-benar sentiasa membuka mata saya dari segi itu. Walaupun saya sudah lama, saya nampak kelebihan itu pada mereka dalam pada tunjuk hormat,” katanya.
Hye-soo kini rancak mempromosikan siri berjudul Unmasked yang ditayangkan pada Januari depan di Disney+ Hotstar. Buat pertama kali, dia turut bergandingan dengan pelakon hebat, Jung Sung-il.
Dia sendiri teruja apabila mendapat peluang itu kerana mengikuti perjalanan karier pelakon siri The Glory itu. Banyak sisi Jung Sung-il diterokanya sepanjang sama-sama bekerja.
“Saya pertama kali berjumpa dengannya dan mendapati dia seorang yang jujur. Dalam The Glory, dia sangat bagus. Tapi, dia sangat berbeza untuk naskhah ini kerana tunjukkan sisi versatil.
“Ramai (produksi) kagum dengan kemahirannya mengubah ekspresi dan semua sayang dia. Bila dia berlakon, seperti sebuah berlian berharga,” katanya.
Berkongsi mengenai Unmasked, Hye-soo seronok apabila dapat menghidupkan watak wartawan dengan cara sendiri. Melakonkan watak Oh So-ryong katanya, naskhah itu sangat menghiburkan.
“Watak itu tidak berat sangat, tapi karakternya kuat. Dia wartawan yang sangat gigih dan ia berkisar kisah kemasyarakatan, seimbang dan realistik.
“Sebagai ketua pasukan, dia guna cara bukan kebiasaan untuk berusaha membongkar kebenaran. Dia juga sentiasa mendahulukan isu keselamatan.
“Sangat sesuai disajikan kepada masyarakat. Ia memfokuskan kepada penyiasatan media dan setiap episod pasti menghiburkan,” katanya.
Bercerita mengenai cabarannya, Hye-soo perlu gambarkan wataknya dengan lebih realistik. Keseluruhan gerak-gerinya perlu mengikut kes yang cuba diselesaikan dalam setiap episod.
“Setiap kes ada berbeza tona dan adab, sama ada ikut hati atau kepala. Saya perlu beri tindak balas secara fizikal, banyak babak aksi, paha saya terseliuh, kena ulang penggambaran,” katanya.
Dalam pada itu, Jung Sung-il mengakui sangat kagum dengan kehebatan Hye-soo. Dia benar-benar hormatnya sebagai pelakon yang patut disanjungi dan dijadikan contoh.
Dia juga sebenarnya sangat bersyukur dapat terbabit dalam produksi itu. Tiada satu hari suram pun sepanjang proses penggambarannya.
“Banyak hal saya belajar daripada Hye-soo. Saya mengenali dia lebih lanjut daripada apa yang orang lain tahu mengenainya. Dia sudah buktikan bahawa julat lakonannya sangat luas.
“Di set juga, setiap hari adalah rahmat, kami saling menyokong sesama sendiri, produksi pun menyenangkan dan atmosfera terbaik. Entah kalau dapat lagi pengalaman begini.
“Harap drama ini berjaya hingga terima anugerah kerana tenaga yang saya dapat sepanjang menjayakannya sangat luar biasa,” katanya.
Unmasked diarahkan Yoo Seon-dong yang pernah menghasilkan naskhah cemerlang termasuk The Uncanny Counter dan Bad And Crazy.
© New Straits Times Press (M) Bhd