am@hmetro.com.my
Lenggong: Kerajaan Perak mengambil maklum kebimbangan penduduk terhadap risiko banjir buruk dan tanah runtuh, susulan projek pembukaan tanah di kawasan hutan Kledang Saiong, Chepor di Ipoh.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut berhubung projek itu daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) selaku pengusaha projek.
Menurutnya, mana-mana projek pembangunan tanah mesti mendapat kelulusan kebenaran merancang (KM) daripada agensi berkaitan dan mematuhi garis panduan serta syarat ketat yang ditetapkan.
“Selepas hantar (permohonan KM), maka jabatan berkaitan dan pihak berkuasa tempatan kena pastikan perancangan projek itu ada langkah mitigasi dan yang penting, ada zon penampan yang perlu dipatuhi.
“Penilaian kesan terhadap alam sekitar (EIA) juga mesti dipatuhi untuk dapatkan KM itu dan semua perkara berkaitan termasuk jadual penebangan pokok, jangan ditebang musim tengkujuh ini.
“Syarat serta prosedur operasi standard (SOP) itu ada dan sangat ketat, namun kita ambil kira kebimbangan penduduk,” katanya ketika ditemui pada Program Penutup Jelajah Sejahtera Desaku @DUN Kota Tampan di Dataran Tasik Raban, di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan aktiviti pembukaan tanah di kawasan hutan Kledang Saiong, Chepor mencetuskan kebimbangan komuniti setempat terhadap risiko banjir buruk dan tanah runtuh.
Kawasan penerokaan yang dimulakan sekitar empat tahun itu dikatakan semakin luas dan sudah hampir dengan kawasan penempatan penduduk terutama Taman Chepor Indah dan Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Batu 10 dengan jarak kurang 100 meter.
Menurut Setiausaha Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Hafizudin Nasarudin, dengan pembukaan tanah agak tinggi sekitar 30 ke 45 darjah, keadaan itu boleh mengundang berlakunya mendapan tanah dan tanah runtuh yang teruk serta banjir lumpur jika hujan berterusan.
Untuk rekod, hutan Kledang Saiong adalah kawasan hulu sungai bagi Sungai Chepor dan anak sungai lain akan memasuki ke Sungai Pari dan Sungai Kinta yang melalui sepanjang bandar raya Ipoh.
© New Straits Times Press (M) Bhd