Huru-hara akibat hina agama tidak untungkan mana-mana pihak

Huru-hara akibat hina agama tidak untungkan mana-mana pihak

PENDANG: Keharmonian masyarakat yang menjadi kacau-bilau akibat sesuatu agama terutamanya agama Islam dihina pihak lain tidak akan membawa sebarang faedah kepada mana-mana pihak di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, sebaliknya keadaan itu dibimbangi akan diambil kesempatan oleh pihak tidak bertanggungjawab menimbulkan kekecohan yang berlarutan.

“Kalau berlaku huru-hara disebabkan penghinaan agama dan sebagainya, ia tidak memberikan sebarang keuntungan kepada sesiapa dan kita bimbang ada segelintir yang cuba hendak mengambil peluang menimbulkan kekecohan dan perseteruan dalam kalangan masyarakat kita.

“Saya juga ingin mengajak dan merayu kepada guru-guru pondok serta para asatizah untuk memainkan peranan mengajak masyarakat untuk jangan sesekali terlibat dalam sebarang usaha menghina mana-mana agama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Ziarah Santun Asatizah Du’at Al-Falah dan Berbuka Puasa sempena Lawatan Rasmi ke Kedah di Pondok Bukit Jagong, malam tadi.

Dalam konteks penghinaan terhadap agama Islam, Mohd. Na’im berkata, agensi agama di negara ini sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Ujar beliau, ini kerana pihaknya tidak memiliki bidang kuasa ke atas orang bukan Islam yang menghina agama Islam, sebaliknya akta-akta berkaitan berada di bawah tanggungjawab pihak-pihak berkuasa terlibat.

“Mereka yang menghina agama kita, tindakan keras perlu diambil kerana kita tidak boleh berdiam macam itu sahaja. Cuma daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kita sering mengajak dan menasihati masyarakat Islam untuk merenungi ayat al-Quran yang mana Allah memang telah sebut kita jangan sekali-kali menghina agama lain.

“Sebab bila mana kita menghina agama lain, dia akan menghina balik agama Islam. Namun, Perdana Menteri dua minggu lepas sudah menegaskan bahawa dalam konteks penguatkuasaan perlu dibuat tidak kira menghina agama mana sekali pun.

“Sesiapa sahaja yang menimbulkan kecelaruan, ketidaktenteraman dalam negara akibat menghina mana-mana agama, tindakan tegas akan diambil. Jadi, saya harap dengan usaha agensi-agensi agama ini dapat meredakan suasana kurang harmoni dan masyarakat Islam serta bukan Islam perlu bina kesatuan atau perpaduan,” ujarnya. – UTUSAN

Scroll to Top