syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : “Saya ini Abdul Wahub (watak lakonan Allahyarham Tan Sri P Ramlee dalam filem Tiga Abdul). Kami punya masalah begitu, masing-masing ada ego,” kata anggota Zero, Atu, 33, mengenai hubungannya dengan dua lagi abangnya yang juga anggota Zero iaitu Sharif dan Syaiful.
Atu atau nama sebenarnya, Sharif Kunal Doli Sharif berkata, hubungan mereka tidak renggang, cuma ikatan itu sudah tak seperti dulu.
“Saya pun tak tahu kenapa tiba-tiba jadi begini. Saya buat kerja saya macam biasa, tahu-tahu bergaduh. Saya jenis orang yang neutral. Ada rasa perbezaan. Adik-beradik tetap adik-beradik,” katanya.
Dalam masa sama, Atu juga tidak kesal dan terasa hati dengan ketidakhadiran dua abangnya itu di majlis pelancaran single sulung mereka, Tondu yang berlangsung, hari ini.
Atu berkata, kedua-dua abangnya itu kini berada di Brunei atas urusan kerja.
“Mereka di Brunei sekarang dan sepatutnya saya pun kena ada di sana. Namun, saya ‘berkorban’ untuk fokus majlis pelancaran ini sebab lagu ini sudah lama dirakamkan.
“Prosesnya bermula sejak 2023 dan kami sudah berbincang, tarikh Januari akan dilancarkan. Tak tahu pula akan bertembung dengan tarikh acara di sana.
“Jadi, tak mengapa. Saya di sini untuk mewakili semua. Mereka cakap tak apa, yang penting lagu ini sudah dilancarkan dan bolehlah orang tahu mengenai kami. Dalam kata lain, macam memperbaharui lesen Zero.
“Tak ada rasa kesal. Benda sudah nak jadi, saya tak boleh ulas panjang-panjang. Yang penting, saya bawa mak saya sekali hari ini,” katanya.
Terdahulu, hubungan Atu dan Sharif mula renggang selepas Sharif membuka cerita mengenai kisah lampau kehidupan Atu dalam satu audiosiar (podcast).
Lagu Tondu hasil ciptaan Zai Hamzah bersama Hemo, manakala lirik pula hasil sentuhan Achoi Floor 88 dan Ayie Elham Floor 88.
© New Straits Times Press (M) Bhd