HRW mahu Israel diseret ke ICC kerana serang hospital

HRW mahu Israel diseret ke ICC kerana serang hospital

NEW YORK – Kumpulan hak asasi antarabangsa Human Rights Watch (HRW) mahu Israel disiasat atas kesalahan jenayah perang berikutan siri serangan ke atas hospital-hospital di Gaza.

Menurut pertubuhan itu, kemudahan kesihatan dan ambulans mempunyai status dilindungi di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Tegas kumpulan itu, jenayah perang adalah pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Justeru Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa Bebas mengenai Wilayah Palestin yang Diduduki perlu diwujudkan dan menyeret Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk dibicarakan.

“Serangan berulang Israel ke atas kemudahan perubatan, kakitangan kesihatan dan ambulans di Gaza harus “disiasat sebagai jenayah perang.

“Serangan tentera Israel yang nampaknya menyalahi undang-undang memusnahkan sistem penjagaan kesihatan Gaza pada masa ketika petugas kesihatan mempunyai bilangan pesakit yang cedera parah yang belum pernah terjadi sebelum ini dan hospital telah kehabisan ubat dan peralatan asas,” katanya.

Kumpulan itu juga berkata, walaupun Israel berkali-kali mendakwa hospital dijadikan sebagai markas oleh Hamas namun negara Zionis itu sehingga kini tidak memberikan sebarang bukti.

Sistem penjagaan kesihatan di Gaza hancur dengan separuh daripada hospital tidak berfungsi sama ada kerana dimusnahkan, diserang atau kehabisan bahan bakar untuk menjana elektrik.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) setakat 12 November, sekurang-kurangnya 521 orang telah terbunuh dalam 137 “serangan terhadap penjagaan kesihatan” di Gaza.

HRW seperti yang dilaporkan Aljazeera berkata, pihaknya telah menyiasat serangan ke atas atau berhampiran lima kemudahan penjagaan kesihatan di Gaza antara 7 Oktober dan 7 November.

Siasatan itu mendapati Israel menyerang Hospital Indonesia beberapa kali antara 7 dan 28 Oktober, membunuh sekurang-kurangnya dua orang awam.

Hospital Mata Antarabangsa telah diserang berulang kali dan musnah sepenuhnya pada 10 atau 11 Oktober.

Hospital Persahabatan Turki-Palestin terpaksa ditutup pada 1 November beberapa hari selepas serangan udara ke atas atau berhampiran kemudahan itu.

Seorang lelaki dan seorang kanak-kanak cedera selepas serangan berulang terhadap Hospital al-Quds; dan tentera Israel menyerang ambulans beberapa kali.

Sekurang-kurangnya sedozen orang terbunuh atau cedera dalam satu kejadian di luar Hospital al-Shifa pada 3 November. – Agensi