Kota Bharu: Perkhidmatan hotel untuk kucing mendapat permintaan tinggi apabila kebanyakannya habis ditempah menjelang Aidilfitri.
Pemilik Pusak Pethouse Hotel And Spa Nur Hidayu Abdul Rahim berkata, dia mula membuka tempahan penginapan hotel ‘si bulus’ untuk musim perayaan Aidilfitri sejak awal Januari lalu dan kini semua bilik sudah penuh ditempah.
Menurutnya, dia mempunyai tiga cawangan hotel kucing termasuk di Pasir Mas dan Wakaf Bharu yang boleh menempatkan hampir 300 ekor kucing dan kini semua bilik sudah penuh ditempah.
“Kami ada sangkar pelbagai saiz yang boleh memuatkan minimum seekor hingga maksimum 12 ekor kucing dengan kadar dikenakan antara RM15 hingga RM160 sehari.
“Kebiasaannya, pemilik kucing meletakkan haiwan peliharaan mereka di sini, sekurang-kurangnya untuk tempoh empat hingga 10 hari bermula pada penghujung Ramadan.
“Setiap kucing yang ditempatkan di pusat ini perlu sihat dan lengkap vaksin bagi menjaga kesihatan semua kucing yang dijaga,” katanya ketika ditemui di sini.
Menurutnya, walaupun masih ada pelanggan yang datang untuk menempatkan kucing peliharaan mereka, namun terpaksa ditolak memandangkan khidmat yang ditawarkan bukan sekadar menjaga makan minum kucing sebaliknya haiwan itu perlu penjagaan rapi sepanjang ditinggalkan.
“Beberapa pengusaha hotel kucing lain di daerah ini juga memaklumkan ruangan yang disediakan mereka juga habis ditempah,” katanya.
Ibu kepada tiga anak berusia antara empat hingga 10 tahun itu berkata, bagi pemilik kucing yang biasa mendapatkan perkhidmatan itu mereka lebih peka dengan membuat tempahan lebih awal.
“Bila kucing-kucing ada tempat untuk ditinggalkan, mereka juga dapat bercuti dan berhari raya dengan lebih tenang,” katanya.
Katanya, bagi musim perayaan, empat pekerja akan bekerja secara syif iaitu pada waktu pagi dan petang untuk memantau keadaan kucing, memberi makanan yang mencukupi selain memastikan bilik penginapan kucing sentiasa bersih dan haiwan itu terhindar sebarang penyakit berjangkit.
“Pada masa sama, setiap pemilik akan diberikan maklumat terkini selain menghantar video tentang keadaan kucing masing-masing pada setiap hari,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd