Kes Hot Daddy nampaknya masih belum selesai ya. Sebaik sahaya dilepaskan tanpa dibebaskan pihak mahkamah, lelaki ini bersama dua teman wanita dilaporkan gagal dikesan.
Disebabkan itu, pihak polis kini sendan memburu mereka. Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, usaha mengesan tertuduh, termasuk pergerakan mereka ke luar negara, sedang giat dijalankan.
Polis telah mengambil tindakan untuk mengesan mereka dan juga sedang menyemak pengesahan perjalanan mereka ke luar negara.- Katanya ketika dihubungi media.
Kes berkaitan khidmat persundalan dan video lucah
Kes ini menjadi perhatian ramai selepas Mahkamah Sesyen melepas tanpa membebaskan tertuduh atas beberapa dakwaan berat. Antara dakwaan itu termasuk mengiklankan khidmat persundalan melalui aplikasi, menjual video lucah, serta memiliki bahan lucah.
Hakim Siti Shakirah Mohtarudin membuat keputusan tersebut selepas pendakwaan memaklumkan bahawa waran tangkap tidak dapat diserahkan kepada ketiga-tiga tertuduh.
Ketiga-tiga individu tersebut ialah Hasli Ikhwan Arif Zul Hasli, 32, yang lebih dikenali sebagai ‘Hot Daddy’; Norshazrina Md Zamri, 27; dan Norhidayah Mahadi, 24.
Mereka didakwa melakukan pengiklanan khidmat persundalan di Pejabat D7 Bukit Aman pada 16 Januari 2024, menjual rakaman video lucah di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju pada 15 Januari, dan memiliki bahan lucah pada 22 Januari.
Hukuman berat menanti jika sabit kesalahan
Menurut pertuduhan, tindakan mereka mengiklankan khidmat persundalan melibatkan Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan, yang boleh membawa hukuman maksimum 15 tahun penjara, sebatan, dan denda.
Selain itu, penjualan rakaman video lucah pula disabitkan di bawah Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan, dengan hukuman penjara maksimum tiga tahun, denda, atau kedua-duanya.
Bagi tuduhan memiliki bahan lucah, ia didakwa mengikut Seksyen 5(1)(a) Akta Penapisan Filem 2002, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, denda RM50,000, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
#OhmediaNasihat
Kisah ini menjadi peringatan kepada kita semua tentang betapa pentingnya menjauhi perbuatan yang melanggar undang-undang dan moral.
Tindakan melibatkan bahan lucah bukan sahaja menyalahi undang-undang tetapi juga memberi kesan buruk kepada masyarakat.