nfazlina@nstp.com.my
Bachok: Hospital Bachok membabitkan kos RM71.3 juta yang sebelum ini terbengkalai, akhirnya siap dibina Julai lalu dan dijangka beroperasi bulan depan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Hospital Bachok yang dibina atas tanah seluas 20.3 hektar sejak 2017 itu bakal memberikan kemudahan lebih selesa kepada penduduk daerah itu khususnya, selain penduduk Kelantan amnya.
“Saya dimaklumkan bahawa Hospital Bachok amat dinantikan oleh penduduk tempatan, di samping Klinik Kesihatan dan Klinik Desa sedia ada yang terhad kepada saringan dan rawatan awal sahaja.
“Seperti semua sedia maklum, kebanyakan kes berisiko sebelum ini dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian sejauh 15 kilometer dan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) yang berjarak 20 kilometer.
“Secara tidak langsung, kos perjalanan ke hospital dapat dijimatkan, disamping memberikan impak sosio ekonomi kepada rakyat di jajahan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Majlis Penyerahan Projek Siap Hospital Bachok , di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Husin.
Selain dibina tiga tingkat, Hospital Bachok mempunyai 76 katil yang merangkumi dua bilik pembedahan, klinik pakar, tiga wad, wad bersalin dan forensik serta makmal dan ruang dialisis.
© New Straits Times Press (M) Bhd