Fasa berpantang selepas bersalin menjadi cabaran besar buat golongan ibu bukan sahaja dari segi fizikal, malah mental juga perlu dititikberatkan untuk mengelak sebarang tekanan.
Begitu pengalaman dilalui selebriti popular Neelofa, namun dia mengakui hilang segala masalah dan tenang apabila menatap wajah putera sulungnya Muhammad Bilal yang dilahirkan pada 29 Januari lalu.
Memetik laporan mStar Online, selebriti berusia 33 tahun itu menyifatkan tempoh berpantang mempunyai cabaran tersendiri tetapi akan menjadi ‘normal’ selepas selesai menjalani fasa tersebut.
“Rasanya setiap ibu berhadapan dengan cabaran tersendiri dalam menguruskan anak kecil mereka. Apa lagi ketika tempoh berpantang dan keadaan diri di mana hormon masih belum stabil.
“Bagaimanapun betul kata orang semua persoalan akan terjawab selepas 40 hari berpantang. Semunya menjadi lebih baik apabila seorang ibu itu selesai menjalani tempoh berpantang.
“Walau apa pun cabaran yang datang, saya akan sentiasa rasa tenang setiap kali melihat wajah anak,” kata usahawan terkemuka tanah air itu semalam.
Selain itu, Neelofa atau mesra dipanggil sebagai Lofa berkata, dia banyak bertanya kenalan rapat yang sudah bergelar ibu sekiranya terdapat kekeliruan berhubung penjagaan anak.
“Saya tidak ada amalan spesifik dalam mengurusakan anak. Lebih banyak mengikut nasihat doktor dan ibu tentang apa yang terbaik,” ujarnya.
Neelofa atau nama penuhnya Noor Neelofa Mohd Noor mendirikan rumah tangga dengan pendakwah bebas, Haris Ismail pada 27 Mac tahun lalu.
Sumber: mStar Online (Farol Hadi) , Instagram @lofa.world