syafiq.aznan@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Pengendali KL City FC, Bojan Hodak jelas lega dengan persembahan bertenaga yang diperagakan anak buahnya khususnya pada babak kedua yang dilihat menjadi faktor mereka berjaya pulang dari Kuantan dengan mata penuh.
Pengendali dari Croatia itu mengakui keputusan seri sudah mula terbayang selepas beberapa peluang yang dicipta pada babak pertama saingan Liga Super gagal diterjemahkan kepada gol sebelum jaringan yang diburu akhirnya muncul selepas rehat separuh masa pertama.
Namun, dia tetap gembira memandangkan kemenangan 2-0 ke atas Sri Pahang FC itu melebarkan rekod tanpa kalah skuad The Cityboys kepada sembilan perlawanan sekali gus membuktikan pasukannya bertambah baik dari satu perlawanan ke perlawanan.
“Saya gembira kerana ini kemenangan pertama di tempat lawan pada musim ini. Kemenangan kedua dan tidak dibolosi dalam dua perlawanan berturut turut.
“Kita beraksi dengan baik pada 40 minit pertama tetapi banyak peluang tidak disudahkan jadi mungkin ini akan menjadi seperti beberapa perlawanan terdahulu. Kami mendapatkan gol pada separuh masa kedua dan dapat menutup perlawanan secara perlahan-lahan.
“Kemenangan ini penting untuk keyakinan pemain. Rekod sembilan perlawanan tanpa tewas adalah satu pencapaian yang mengagumkan untuk pasukan,” katanya.
Skuad warga kota memperaga aksi terbaik untuk mengutip mata penuh apabila menundukkan Sri Pahang FC 2-0 pada aksi di Stadium Darul Makmur, kelmarin.
Dua jaringan pada babak kedua menerusi Romel Morales dan Zhafri Yahya sudah cukup untuk memberikan kemenangan buat pelawat yang kini berada di tangga keenam selepas menghimpun 27 mata hasil enam kemenangan dan sembilan keputusan seri.
Skuad Tok Gajah pula terus tertekan kerana hanya dibezakan empat mata dengan zon penyingkiran ketika mereka hanya memiliki empat perlawanan sebelum menamatkan kempen liga musim ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd