BEIJING – Kemunculan varian koronavirus yang didakwa lebih mudah berjangkit, HKU5-CoV-2 telah dikesan di China, sekali gus mencetuskan kebimbangan jika ia berpotensi mencetuskan pandemik baharu, Covid 2.0.
Pada 2019, komuniti antarabangsa berdepan ancaman SARS-CoV-2 yang telah menyebabkan penularan Covid-19 yang menyasarkan saluran pernafasan dan mengakibatkan kesukaran untuk bernafas, penurunan paras oksigen dan gejala radang paru-paru.
Selepas hampir lima tahun kes pertama Covid-19 direkodkan di Wuhan, dunia sekali lagi berdepan ancaman satu lagi pandemik global.
Menerusi kajian terbaharu, saintis di Beijing memberi amaran varian HKU5-CoV-2 ditemui pada kelawar dan berpotensi menjangkiti manusia.

Pakar menyarankan vaksin sedia ada dikemaskini bagi meningkatkan perlindungan terhadap sistem imun tubuh.
“Varian tersebut dikaitkan dengan koronavirus yang dikesan pada spesies sama sebelum ini. Ia menunjukkan ciri-ciri yang boleh menular dengan mudah dalam kalangan masyarakat,” jelas laporan penyelidikan tersebut.
Saintis mendakwa varian baharu itu muncul kerana mutasi berterusan yang berlaku dalam protein lonjakan strain induk Covid yang boleh meningkatkan keupayaannya untuk menempel pada sel manusia, sekali gus meningkatkan risiko penyebaran dalam kalangan komuniti.
Meskipun masih terlalu awal untuk mengklasikasikan HKU5-CoV-2 sebagai varian membimbangkan (VOC), susunan genetiknya telah menjadi topik perbincangan serius dalam komuniti kesihatan global dan belum dihebahkan secara terperinci kepada umum.
Pakar turut memberi amaran HKU5-CoV-2 adalah ‘kebal’ kerana berupaya mengelak daripada sistem imun manusia.
Persoalan yang timbul kini adalah sama ada varian baharu itu berpotensi menjadi pandemik global berikutan kajian awal mendapati vaksin sedia ada berkemungkinan tidak lagi efektif dan memerlukan versi yang dikemaskini bagi meningkatkan perlindungan.
“Tiada sebab untuk panik disebabkan kemunculan varian baharu tersebut,” ujar penyelidik kajian itu yang cuba meredakan kebimbangan orang ramai.
Pakar turut menyarankan pengeluar vaksin supaya mengambil suntikan penggalak untuk meningkatkan tindak balas imun selain memberi perlindungan tambahan terhadap ancaman HKU5-CoV-5.

Kebocoran Covid-19 dari makmal di Institut Virologi Wuhan pernah didakwa menjadi punca pandemik itu pada 2019.
Menurut South China Morning Post (SCMP), varian baharu itu ditemui pasukan ahli virologi diketuai Shi Zhengli yang diberi julukan ‘batwoman’ atas sumbangan beliau dalam kajian koronavirus terutamanya di Institut Wuhan yang didakwa menjadi punca kebocoran virus Covid-19 dari makmal di kemudahan berkenaan yang dinafikan sekeras-kerasnya oleh China hingga saat ini. – Agensi
Info
>HKU5-CoV-2 merupakan varian Covid-19 yang lebih mudah berjangkit.
>Berdasarkan data diterbitkan baru-baru ini, ia berpotensi disebarkan dari kelawar kepada manusia dalam waktu yang singkat.
>Terdapat spekulasi mendakwa varian baharu ini ‘kebal’ daripada vaksin sedia ada.
>Penyelidik masih belum mengeluarkan data yang tepat tentang virus itu dan risiko sebenar jangkitannya kepada manusia.
>HKU5-CoV-2 tergolong dalam subgenus merbecovirus sama seperti Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS).
>Gejala yang perlu diberi perhatian pada masa ini ialah:
-Demam yang berterusan disertai dengan menggigil dan sakit badan.
-Hidung berair.
-Sakit tekak yang berterusan.
-Masalah pernafasan.
-Hilang deria bau dan rasa.
-Sakit kepala yang berterusan.
-Hilang selera makan yang tidak dapat dijelaskan.