bhnews@bh.com.my
Putrajaya: Perhimpunan lebih 1,000 pesawah dari seluruh negara di sini, akan diteruskan hari ini di lokasi baharu di pekarangan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) susulan lawatan rasmi Presiden Indonesia, Prabowo Subianto ke Malaysia.
Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysai (PeSAWAH) dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya kesal kerana lawatan itu tidak dimaklumkan kepada mereka sedangkan urusan surat-menyurat dan makluman berkenaan kunjungan PeSAWAH sudah lama dikemukakan.
“PeSAWAH tidak datang untuk membuat huru-hara lebih-lebih lagi ketika kedatangan tetamu negara.
“Oleh itu, lokasi kunjungan dan sidang media PeSAWAH diubah ke Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada tarikh dan waktu yang sama,” katanya.
Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memohon penyerahan memorandum membabitkan lebih 1,000 pesawah di Putrajaya ditunda ke tarikh lain susulan lawatan Presiden Prabowo Subianto ke negara ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, pihaknya menghormati hasrat pesawat terbabit bagi mengunjungi Pejabat Perdana Menteri (PMO), namun tarikh berkenaan bertindih dengan lawatan pemimpin Indonesia itu.
Selain itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menasihatkan pesawah yang hendak berhimpun di Putrajaya hari ini bagi menyerahkan memorandum supaya menangguhkannya ke suatu masa yang sesuai.
Perdana Menteri menegaskan kerajaan tidak menghalang mereka untuk berhimpun, sebaliknya menjelaskan ia tidak sesuai dilakukan ketika Lawatan Negara, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.
Prabowo akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia hari ini, atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Presiden Indonesia itu akan diiringi oleh menteri kabinet dan pegawai kanan kerajaan. Beliau juga dijangka mengadakan pertemuan dengan Anwar di Putrajaya.
© New Straits Times Press (M) Bhd