'Hilangnya pemimpin mesra rakyat, berdedikasi' – Syed Hamid

'Hilangnya pemimpin mesra rakyat, berdedikasi' – Syed Hamid

ercy.gracella@bh.com.my

Kuala Lumpur: “Kita kehilangan negarawan dan pemimpin yang berdedikasi,” kata bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar.

Ia susulan pemergian Perdana Menteri ke-5 Tun Abdullah Ahmad Badawi yang meninggal dunia akibat sesak nafas di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 7.10 malam tadi.

Syed Hamid menyifatkan Allahyarham yang juga Bapa Pembangunan Modal Insan sebagai seorang pemimpin yang baik dan mesra rakyat.

“Pendekatan Allahyarham ketika menjadi Perdana Menteri sangat mesra rakyat, mesra pentadbiran dan membawa banyak perubahan ke arah kebaikan.

“Kita kehilangan seorang pemimpin yang amat baik dan kita doakan beliau diletakkan di tempat yang tinggi di jannah, insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di perkarangan kediaman Abdullah di Persiaran Tuanku Jaafar, Tasik Perdana, di sini, hari ini.

Allahyarham dikenang sebagai seorang pemimpin yang merendah diri dan bersederhana dalam tindakan serta percakapannya ketika mengetuai pentadbiran negara.

Sikap itu bagaimanapun tidak menghalang Allahyarham daripada bertegas, terutama dalam usaha membasmi rasuah dan mahu pentadbirannya telus serta berintegriti.

Jenazah Tun Abdullah akan dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara, hari ini mengikut Istiadat Pengebumian Negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top