Hilang sabar diejek, pelajar Tingkatan Tiga tolak ‘senior’ dibalas tumbukan

Hilang sabar diejek, pelajar Tingkatan Tiga tolak ‘senior’ dibalas tumbukan

Institusi pendidikan adalah tempat untuk mencari kawan, dan bukannya lawan. Tapi lain pula terjadi di sebuah sekolah menengah di Sungai Pelek, Selangor apabila berlaku pergaduhan membabitkan pelajar menerusi satu video tular semalam.

Menurut laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata insiden dipercayai berlaku apabila seorang pelajar Tingkatan Tiga diejek seorang pelajar Tingkatan Empat.

“Pelajar berusia 15 tahun itu telah hilang sabar lalu menolak pelajar berusia 16 tahun tersebut. Pelajar Tingkatan Empat itu kemudian telah menumbuk di bahagian muka pelajar Tingkatan Tiga.
“Namun tumbukan itu hanya terkena sedikit, lalu berlaku tolak menolak di antara sekumpulan pelajar,” katanya dalam satu kenyataan.

Wan Kamarul Azran berkata, sekumpulan pelajar tersebut mula melakukan provokasi antara mereka namun tiada kecederaan dilaporkan selain masing-masing telah mengakui kesalahan dilakukan serta berjanji tidak akan mengulangi perbuatan berkenaan.

“Pengetua dan pihak sekolah juga tidak membuat apa-apa laporan polis memandangkan kejadian tersebut tidak melibatkan kecederaan…
“…dan mereka akan mengambil tindakan disiplin ke atas semua pelajar yang terlibat,” ujarnya.

Terdahulu, video berdurasi 42 saat yang dirakam seorang pelajar itu memaparkan situasi tegang antara sekumpulan pelajar sebelum berjaya dileraikan oleh guru-guru di lokasi kejadian.

Sumber: Sinar Harian (Ahmad Ismadi Ismail) , Facebook Tanggang Derhaka

Scroll to Top