Hilang fokus dua minit musnahkan impian TFC

Hilang fokus dua minit musnahkan impian TFC

sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Hilang fokus serta terlalu selesa terus menghantui Terengganu FC (TFC) ketika saingan Liga Super musim 2024/2025 semakin menghampiri ke penghujungnya.

Ini diakui ketua jurulatihnya, Badrul Afzan Razali yang masih lagi mencari ‘penawar’ terbaik untuk mengubati ‘penyakit’ berkenaan walaupun sudah berusaha ke arah itu.

Jelasnya, kesilapan mudah dilakukan anak buahnya ketika kemenangan hampir menjadi kenyataan berdepan Kuching City FC (KCFC) begitu mengecewakannya biarpun beraksi di tempat sendiri selain mendahului dengan dua jaringan.

Semalam skuad Penyu yang tumpas 1-2 kepada Kuala Lumpur City FC pada minggu lalu juga di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak gagal mempertahankan kelebihan dua jaringan sebelum terikat 2-2.

Lebih malang, skuad pelawat kendalian Aidil Sharin Sahak itu hanya memerlukan masa dua minit sahaja untuk meledak dua gol sekali gus ceria membawa pulang satu mata berharga di tempat lawan.

“Saya begitu kecewa dengan persembahan pemain terutama pada babak kedua selepas mereka melepaskan dua jaringan mudah dalam masa dua minit perlawanan.

“Hilang fokus serta pemain terlalu selesa ketika mendahului lawan adalah faktor utama TFC gagal meraih tiga mata penuh biarpun mendominasi permainan dengan banyak mencipta peluang.

“Malah kesilapan yang tidak sepatutnya dilakukan terutama barisan pertahanan mengakibatkan pasukan dihukum,” kata Badrul Afzan ketika ditemui selepas tamat perlawanan malam tadi.

Pada perlawanan itu, jaringan dua pemain import TFC, Manuel Ott dan Ismaheel Akinade gagal membantu pasukannya meraih mata penuh selepas lawan hanya mengambil masa dua minit untuk menyamakan kedudukan menerusi dua bekas pemain TFC, Jordan Mintah dan Petrus Shetembi.

Bagaimanapun keputusan itu tidak mengubah kedudukan skuad Penyu yang kekal ditangga keempat liga dengan mengumpul 28 mata menerusi 19 perlawanan manakala KCFC tangga kelima dengan 24 mata selepas 18 perlawanan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top