Hidup semula kampung budaya

Hidup semula kampung budaya

nurul_husna@hmetro.com.my

PANTAI Cherating, Pahang antara destinasi pantai di sebelah Pantai Timur yang masih selamat untuk menjalankan aktiviti rekreasi air mahupun bermandi-manda.

Seakan-akan berteluk, destinasi yang terletak di sebelah utara bandar Kuantan itu menjadi pilihan pelancong dalam dan luar negara untuk bersantai.

Pengalaman penulis sendiri yang berkesempatan menjejak kaki ke pantai itu melihat suasananya begitu mendamaikan.

Ia bertambah meriah dengan kehadiran pengunjung bermandi-manda dan melakukan aktiviti rekreasi air pada hujung minggu.

Pengunjung tidak kekok melakukan aktiviti seperti bermain bola sepak pantai dan bersantai menghirup angin petang bersama kenalan ataupun keluarga.

Di sebalik kedamaian pantai itu, pengusaha dan penduduk tempatan Cherating menzahirkan harapan besar, supaya kampung budaya yang pernah dibangunkan pihak berkuasa tempatan dapat dihidupkan semula.

Menurut operator dan pengusaha parkir persendirian di pantai berkenaan Abu Talib Ali, 60, kampung budaya jika diwujudkan semula dapat meningkatkan populariti destinasi itu di mata dunia.

“Hasrat saya besar sebagai anak jati Kampung Cherating ingin merasai kemeriahan seperti era 90-an yang mana destinasi ini sibuk dengan kehadiran pelancong asing.

“Kalau ada pelancong luar yang masuk dan berbelanja, anak muda kampung boleh berniaga dan tidak perlu cari kerja di luar,” katanya.

Cabaran mungkin dari pihak berkuasa tempatan untuk memajukannya kerana kebanyakan pantai itu adalah tanah milik perseorangan.

“Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) juga mungkin ada kekangan sendiri kerana kawasan pantai ini kebanyakan milik perseorangan.

“Saranan saya, mereka boleh fikirkan pembangunan semula kampung budaya daripada bangunan terbiar lebih baik dijadikan sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada penduduk.

“Saya sedar ketika ini Cherating sendiri tiada pusat sehenti pelancongan berorientasikan komuniti,” katanya.

Hal itu turut disokong operator rekreasi pantai, Mohd Kamal Ramli, 44, setakat ini tiada lagi bangunan atau pusat rekreasi khusus aktiviti komuniti dibangunkan.

“Saya mencari rezeki di pantai ini memang mengalu-alukan jika pihak MPK boleh wujudkan pusat sehenti untuk anak tempatan memperkenalkan produk pelancongan ada di Cherating.

“Malah saya yang berhijrah ke pantai ini menyediakan perkhidmatan menyewa ATV dan menjalankan aktiviti pelancongan melihat Cherating banyak kelebihan berbanding pantai di sebelah Pantai Timur yang lain.

“Pantai yang landai sesuai untuk mandi dan persekitaran masih terjaga. Tidak jauh dari pantai ini ada ‘port’ pulau tidak berpenghuni tetapi terkenal sebagai lokasi memancing atau menyelam,” katanya.

Contoh terdekat ialah Pulau Ular yang masih terpelihara keindahannya dan sesuai untuk aktiviti snokeling atau rekreasi air.

“Saya akui Cherating tidak semeriah dahulu dan pantai ini kurang diberi fokus oleh pihak tertentu dimajukan.

“Tetapi saya ada dengar kerajaan negeri ada perancangan untuk bangunkan ombak buatan di Sungai Cherating.

“Saya harap itu dapat direalisasikan dan dapat mengembalikan semula Pantai Cherating sebagai destinasi percutian didambakan ramai orang,” katanya.

Katanya jika ada pusat setempat didirikan untuk menggiatkan lagi produk pelancongan tempatan, ia sangat membantu.

“Harapan saya pihak berkenaan dapat mewujudkan pembangunan fasiliti untuk komuniti.

“Memperhebatkan komuniti, bermakna industri berkaitan lebih mudah untuk melangkah ke hadapan termasuklah dalam bidang pelancongan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top