Hidup empat bulan dengan buah pinggang babi

Hidup empat bulan dengan buah pinggang babi

Washington: Seorang wanita di Amerika Syarikat (AS) yang mencatat sejarah perubatan apabila berjaya hidup selama 130 hari dengan buah pinggang babi yang diubah suai secara genetik, berakhir apabila tubuhnya mula menolak organ itu.

Doktor terpaksa mengeluarkan buah pinggang babi yang dipindahkan ke dalam tubuh wanita terbabit selepas hidup selama empat bulan dengan organ haiwan itu, menurut kenyataan hospital yang melakukan pembedahan itu pada Jumaat.

Towana Looney, wanita berusia lingkungan 50-an dari Alabama, menerima buah pinggang babi yang diubah suai secara genetik pada 25 November lalu di New York.

Prosedur yang amat bersifat percubaan itu memberi harapan buah pinggang haiwan mungkin boleh dijadikan sumber alternatif dalam menghadapi kekurangan kronik buah pinggang manusia yang sedia ada.

Penolakan oleh tubuhnya terhadap organ itu akhirnya menunjukkan penggunaan organ haiwan secara konsisten masih belum dapat dicapai, namun doktor tetap optimis kerana buah pinggang babi itu berfungsi menapis darah selama 130 hari sebelum penolakan berlaku.

Beberapa pesakit pernah menerima buah pinggang babi sebelum ini, tetapi tiada yang bertahan lebih dua bulan.

Menurut doktor, Looney, yang kini kembali menjalani rawatan dialisis, masih layak untuk menerima buah pinggang manusia jika ada penderma yang sesuai.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Hospital NYU Langone di New York, Looney menyatakan penghargaan atas penjagaan dan sokongan yang diterimanya daripada pasukan perubatan di sana.

“Buat pertama kali sejak 2016, saya dapat menikmati masa bersama keluarga dan rakan-rakan tanpa perlu merancang mengikut jadual dialisis,” katanya.

“Walaupun keputusannya bukan seperti yang diharapkan, saya tahu banyak perkara sudah dipelajari daripada 130 hari saya dengan buah pinggang babi – dan ini boleh membantu serta memberi inspirasi kepada ramai orang lain.”

Pada 1999, Looney pernah mendermakan buah pinggang kepada ibunya. Namun selepas mengalami komplikasi akibat kehamilan yang merosakkan buah pinggang yang tinggal, dia terpaksa menjalani rawatan dialisis selama lapan tahun.

Apabila tiada penderma buah pinggang manusia yang sesuai ditemui dan kesihatannya semakin merosot, Looney akhirnya dibenarkan menerima buah pinggang babi yang diubah suai secara genetik.

Walaupun keputusan awal tampak memberangsangkan, “pada awal April, fungsi buah pinggangnya mula merosot akibat penolakan akut,” kata Robert Montgomery, Pengerusi Jabatan Pembedahan dan Pengarah Institut Pemindahan Organ hospital berkenaan.

Dia menambah: “Punca penolakan selepas tempoh stabil yang panjang masih sedang disiasat, tetapi ia berlaku selepas dos ubat imunosupresi dikurangkan untuk merawat jangkitan yang tidak berkaitan dengan buah pinggang babi.”

Rawatan ini bertujuan untuk melemahkan sistem imun tubuh bagi mengelakkan ia menyerang organ yang dipindahkan, tetapi pada masa sama turut melemahkan daya tahan badan terhadap jangkitan luar.

Keputusan untuk mengeluarkan buah pinggang babi itu dibuat bersama oleh Looney dan doktornya, bagi memastikan “peluang pemindahan pada masa depan dapat dipelihara.”

Doktor memaklumkan bahawa Looney pulih dengan cepat selepas pembedahan pada 4 April, keluar dari hospital lima hari kemudian, dan kini berada di rumahnya di Alabama dalam keadaan baik.

© New Straits Times Press (M) Bhd