'Hidup 1,000 tahun pun tak guna kalau tak solat' – Bandi Amuk

'Hidup 1,000 tahun pun tak guna kalau tak solat' – Bandi Amuk

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Penyanyi, Bandi Amuk, 61, mengambil pendekatan selalu mengingatkan dirinya dan orang sekeliling yang rapat agar tidak sesekali meninggalkan solat dan harus sentiasa ingat kepada Allah.

Bandi atau nama sebenarnya, Nasabandi Jumat berkata, tiada gunanya dan satu kerugian dalam kehidupan kita walaupun sudah diberi peluang hidup selama 1,000 tahun oleh Allah sekiranya tidak solat.

“Sebab itu, kadang-kadang saya pesan pada semua orang, awak nakal macam mana pun, kaya macam mana pun, sangat sibuk dengan kerja pun, tetapi solat itu jangan sesekali ditinggalkan.

“Ini kerana, solat kalau awak tinggalkan walaupun dapat hidup selama 1,000 tahun, awak memang gagal. Sangat gagal,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Bandi, dia juga tidak berniat mahu riak dengan perubahan diri yang kini lebih ke arah kerohanian, namun rutin hariannya setiap pagi adalah solat Subuh berjemaah di masjid.

“Jangan ada yang anggap saya cuba bersikap riak pula. Tapi, saya memang setiap pagi akan mengaji dulu, kemudian pergi solat Subuh di masjid dan selepas itu tunggu kuliah agama yang diadakan.

“Saya pun selalu cakap pada kawan-kawan, kita ini umur pun dah berapa? Sekarang ini, Allah Taala kalau nak ambil (nyawa), Dia tak kira umur kita dah tua atau muda. Sampai masa, sesiapa saja boleh ‘jalan’ dulu.

“Zaman sekarang ini pun saya tengok dah ramai kawan saya yang umur baharu 40 tahun sudah dijemput Ilahi. Macam saya ini, umur dah lebih 60 tahun tapi Allah beri lagi peluang hidup,” katanya.

Menurut Bandi, ada juga yang mengatakan padanya tidak perlu bimbang kerana masih sihat, namun realitinya soal kesihatan itu hanya dia dan Allah saja yang tahu.

Katanya, apa yang boleh difahami ialah perkara membabitkan kematian adalah perkara tidak diduga kerana orang sihat pun boleh meninggal dunia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top