Kuala Lumpur: Pemain warisan skuad Harimau Malaya, Hector Hevel menyatakan rahsia utama dirinya dapat menampilkan prestasi terbaik dalam penampilan pertamanya menentang Nepal pada bulan lalu adalah disebabkan keserasian yang berjaya dibentuk dengan cepat.
Jelasnya, yang hanya mempunyai tempoh seminggu untuk menyesuaikan diri tidak mampu beraksi dengan cemerlang pada aksi pembukaan Kelayakan Piala Asia 2027 sekiranya tiada kerjasama antara pemain ketika sesi latihan diadakan.
Katanya, dia berusaha mencari ruang untuk mengenali rakan sepasukan kerana maklumat itu mampu membantu dirinya melakukan persediaan serta mengetahui cara permainan rakan sepasukan dengan lebih baik.
“Seperti yang saya katakan, kami mempunyai masa yang sangat singkat tetapi kami berusaha untuk berkomunikasi di dalam dan di luar untuk bercakap tentang apa yang anda suka dan apa yang saya suka (gaya permainan).
“Kita berjaya melakukannya di dalam padang sewaktu menentang Nepal. Kami boleh mengembangkan lagi dan akan berusaha bagi meningkatkan lagi permainan yang sedia ada ke arah lebih baik,” katanya.
Untuk rekod, bintang baharu skuad Harimau Malaya itu berjaya membuktikan pemilihan dirinya adalah pilihan tepat apabila Hector menunjukkan kualiti yang sangat baik dari segi mengawal bahagian tengah termasuk melakukan hantaran pendek serta jauh dengan tepat.
Malah, pemain kelahiran Belanda itu juga berjaya meledak jaringan pertama untuk membantu kemenangan 2-0 ke atas Nepal sekali gus membuka akaun jaringan bersama Harimau Malaya.
© New Straits Times Press (M) Bhd