Heret peneroka haram hutan simpan di Pahang ke mahkamah, tiada lagi kompromi – PPNP

Heret peneroka haram hutan simpan di Pahang ke mahkamah, tiada lagi kompromi – PPNP

RAUB: Penceroboh tanah haram di negeri ini perlu diambil tindakan undang-undang tanpa sebarang rundingan dan melayan tuntutan mereka di mahkamah sivil seperti mana dilaksanakan sebelum ini.

Pengerusi Pertubuhan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang (PPNP) yang juga Pengerusi Sekretariat Gerakan NGO-NGO Anti Peneroka Tanah Haram Kebangsaan, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, anggota penguatkuasa wajar memfailkan pertuduhan di mahkamah jenayah terhadap penceroboh tanah haram untuk menghentikan konflik ini daripada berterusan.

“Kerajaan negeri perlu mewujudkan Program Sifar Pencerobohan Tanah di seluruh daerah membabitkan pemimpin masyarakat setempat  untuk memberi kesedaran dan penekanan membuat semakan dan melaporkan sebarang aktiviti pembangunan tanah yang meragukan dalam kawasan masing-masing.

“Keterbukaan dan sifat tanggungjawab ini membuktikan bahawa usaha membanteras pencerobohan hutan bukan tanggungjawab eksklusif kerajaan semata-mata.

“Semua pihak terutama penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu tampil ke hadapan dan diharapkan kerjasama bersama penguatkuasa menjadi platform supaya dapat menjadi benteng kekuatan penguat kuasa dalam memainkan peranan yang lebih aktif bagi memastikan jenayah pencerobohan hutan dan salah guna kuasa dapat dibendung sehingga ke peringkat akar umbi,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Heret peneroka haram hutan simpan di Pahang ke mahkamah, tiada lagi kompromi – PPNP
ZUHAIRI Ab. Kadir (tengah) berhimpun bersama Sekretariat Gerakan NGO-NGO Anti Peneroka Tanah Haram Kebangsaan untuk menzahirkan sokongan terbuka tindakan penguatkuasaan kerajaan negeri terhadap pekebun durian haram di Sungai Ruan, Raub, Pahang.

Mengulas lanjut, Zuhairi berkata, pihaknya menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kemungkinan terdapat individu tertentu atau kakitangan pihak berkuasa sendiri yang terlibat rasuah.

“Ini kerana, bagaimana kegiatan itu boleh berlarutan dan merebak ke seluruh daerah dalam negeri ini sehingga berpuluh tahun lamanya,” soalnya.

Beliau dalam pada itu berkata, Sekretariat Gerakan NGO-NGO Anti Peneroka Tanah Haram Kebangsaan berhimpun pada hari ini untuk menzahirkan sokongan terbuka tindakan penguatkuasaan kerajaan negeri terhadap pekebun durian haram di daerah Raub.

“Sokongan ini susulan operasi pemusnahan kebun durian Musang King haram di Sungai Ruan dan Sungai Klau yang bermula sejak 8 April lalu.

“Kami tampil menyatakan sokongan kepada semua penguat kuasa yang bertungkus-lumus melaksanakan arahan kerajaan Pahang. Ini bukan soal politik, tetapi soal mematuhi undang-undang.

“Kami berharap penguatkuasaan ini diteruskan agar Raub bersih daripada sebarang bentuk pencerobohan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau menegaskan perhimpunan ini bukan untuk mencetuskan provokasi, tetapi sebagai tanda sokongan kepada penguatkuasaan.

“Ia juga sebagai menjunjung titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung isu ini yang dizahirkan baginda pada 14 April lalu yang menegaskan agar tanah di negeri ini tidak diceroboh sewenang-wenangnya dan tindakan sewajarnya harus dikenakan kepada mereka yang terlibat.

“Kerajaan Pahang perlu memandang serius aktiviti pencerobohan tanah secara haram milik kerajaan negeri dan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang tanah dan mencemarkan sumber alam negeri ini.

“Aktiviti pencerobohan seperti ini bukan sahaja menyalahi undang-undang tetapi juga memberi impak buruk kepada alam sekitar,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top