Henderson tidak akan beraksi berdepan Everton

Henderson tidak akan beraksi berdepan Everton

Jordan Henderson – Foto Getty Images

PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp mengesahkan tonggak The Reds, Jordan Henderson hampir pasti tidak akan beraksi berdepan Everton dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield pada Sabtu gara-gara kecederaan hamstring.

Klopp berkata, Henderson disahkan mengalami kecederaan berkenaan setelah membantu Liverpool mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Newcastle United di venue sama, Rabu lalu.

Justeru menurut Klopp, pemain berkenaan diharap dapat segera pulih daripada kecederaan dan kembali cergas untuk beraksi dalam masa terdekat.

“Kita mengesahkan bahawa Henderson hampir pasti tidak akan beraksi kali ini dan tempatnya bakal digantikan oleh pemain lain.

“Ketika beraksi menentang Newcastle, kita telah mengeluarkannya (Henderson) pada penghujung babak kedua kerana kecederaannya itu.

“Apapun, kecederaannya kali ini agak membimbangkan kerana kita bakal mengharungi beberapa perlawanan yang penting selepas ini,” katanya.

Henderson telah dikeluarkan pada minit ke-71 pada aksi berdepan Newcastle, Rabu lalu.

Sementara itu, Klopp mengakui gembira dengan kejayaan pemain gantian, Fabio Carvalho menjaringkan gol kemenangan Liverpool pada masa kecederaan.

Katanya, kejayaan pemain berusia 20 tahun itu menjaringkan gol sekali gus memberikan petanda positif mengenai kemampuan jentera serangan The Reds musim ini.

“Saya gembira apabila Carvalho berjaya menjaringkan gol. Ini bermakna kita memiliki ramai pemain yang mampu menghasilkan jaringan.

“Apapun, diharapkan pemain akan lebih fokus untuk mencatatkan kemenangan pada aksi berdepan Everton kali ini,” katanya.

Scroll to Top