am@hmetro.com.my
Georgetown: “Tiada lagi anak yang ceria, Fahmi hembus nafas terakhir di sisi ibu dan baba. Kami beritahu reda jika dia hendak pergi, dan dia pergi dengan tenang selepas isteri saya bisik kalimah syahadah di telinganya.
“Saya reda walaupun secepat ini dia ‘pergi’, sekurang-kurangnya dia tidak lagi menanggung kesakitan.” Demikian kata Mohamad Fakhruddin Mohamad Fikri, 35, bapa kepada kanak-kanak lelaki, Mohamad Fahmi Hafiz, 10, yang meninggal dunia dipercayai akibat tercekik gula-gula kenyal pada Selasa lalu.
Mohamad Fakhruddin berkata, dia dan isteri, Nuraini Mohamad Isa, 37, kali terakhir melawat anak sulung mereka semalam sebelum kanak-kanak itu meninggal dunia kira-kira 11 malam.
“Ada air mata bertakung di matanya, dia pergi dalam keadaan cukup tenang seolah-olah sedang tidur.
“Adik, Nufa Fakhira (4 tahun) dan neneknya juga datang melawat Mohamad Fahmi petang tadi (petang semalam).
“Nufa menangis panggil abangnya dan mengajak mandi kolam bersama,” katanya ketika ditemui di sini, malam tadi, ketika mengiringi jenazah anaknya ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi proses bedah siasat.
Sementara itu, ahli keluarga pasangan itu turut hadir di perkarangan jabatan berkenaan.
Difahamkan, bedah siasat akan dijalankan kira-kira 9 pagi ini.
Menurut Mohamad Fakhruddin, jenazah Mohamad Fahmi dijangka dibawa pulang ke di Permatang Binjai, Penaga selepas urusan bedah siasat selesai.
“Tangan yang menjaganya sejak kecil akan mandikan dan kafankannya, saya tidak pasti bagaimana akan saya lakukan nanti. Terima kasih kepada semua yang mendoakan anak saya,” katanya lagi.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan mengenai kanak-kanak lelaki berkenaan berada dalam kritikal dipercayai akibat tercekik gula-gula kenyal yang dibeli di luar kawasan Kelas-Quran dan Fardhu ‘Ain (Kafa), Sungai Dua, Butterworth.
Dalam kejadian 2.30 petang itu, mangsa dikatakan rebah ketika hendak ke tandas sebelum gurunya menghubungi pasukan perubatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman semalam, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian daripada guru lelaki terbabit.
Katanya, ketika pegawai kesihatan tiba, mereka berjaya mengorek dan membuang gula-gula berkenaan dari mulut kanak-kanak itu, namun mangsa masih tidak sedarkan diri.
© New Straits Times Press (M) Bhd