Helmi johan keseluruhan Pertandingan Memancing Fun Fishing

Helmi johan keseluruhan Pertandingan Memancing Fun Fishing

SERDANG – Kemeriahan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 hari ini semakin rancak walaupun sehari lagi sebelum berakhirnya festival berkenaan.

Hari ini meriah dengan pelbagai acara termasuk Pertandingan Memancing Fun Fishing.

Suasana sebelum majlis penyerahan pemenang Pertandingan Fun FIshing MAHA 2024 ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di MAEPS Serdang. Foto AIZAT ZAINAL, 21 SEPTEMBER 2024.

Pertandingan anjuran Pertubuhan Peladang Kebangsaan Malaysia (NAFAS) itu merupakan kali keempat diadakan sejak penubuhan NAFAS Cube dalam kawasan Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).

Pada pertandigan itu, seorang pekerja swasta, Mohd Helmi Hasbulla, 22, dari Kajang telah dinobatkan johan keseluruhan apabila berjaya menangkap ikan patin seberat 950 gram (gm) hanya dalam tempoh singkat iaitu empat jam.

Peserta, Mohd Helmi Hasbulla bergambar semasa Majlis penyerahan pemenang Pertandingan Fun FIshing MAHA 2024 ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di MAEPS Serdang. Foto AIZAT ZAINAL, 21 SEPTEMBER 2024.

“Sebenarnya, ini adalah kali pertama saya turut serta dalam pertandingan anjuran MAHA ini dan merupakan kali pertama saya menang bagi kategori ikan patin.

“Alhamdulillah, kali ini saya diumumkan sebagai juara. Tidak tahu bagaimana nak cakap, rasa gembira dan terharu,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Memancing MAHA 2024 di sini hari ini.

Melalui kemenangan itu, Helmi membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 beserta hamper.

Turut menarik perhatian adalah tiga generasi keluarga Siew terdiri daripada Siew Kam You, 82, Siew Yew Choe, 53, dan Siew Choon Hong, 24, yang masing masing telah memenangi tempat ke-10, kelapan dan keempat dalam pertandingan yang sama.

Anak, Siew Chon Hong,28 bercakap pada media berkenaan majlis penyerahan pemenang Pertandingan Fun FIshing MAHA 2024 bersama Ayah, Siew Yew Choe, 53 dan Atuk, Siew Kam You, 82 ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di MAEPS Serdang. Foto AIZAT ZAINAL, 21 SEPTEMBER 2024.

Menurut Choon Hong, rasa minat memancing kerana mengikut datuknya sehingga hobi itu telah menjadi salah satu aktiviti pilihan keluarga sejak lebih 20 tahun lalu.

Majlis itu telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Datuk Mahfuz Omar manakala majlis penyampaian hadiah oleh Pengerusi Jemaah NAFAS, Datuk Zamri Yaakob dan Pengurus Besar NAFAS, Muhammad Faris Arriffin.

Dalam pertandingan yang bermula 7 pagi itu, seramai 120 peserta telah mengambil bahagian dengan hadiah keseluruhan yang ditawarkan bernilai RM2,000 dan 15 hadiah saguhati.

Acara tersebut telah berlangsung meriah kemeriahan dan berjaya menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat berbilang kaum. – MalaysiaGazette

Scroll to Top