Helmi Gimmick masih aktif

Helmi Gimmick masih aktif

am@hmetro.com.my

Klang: Pengacara dan penghibur serba boleh, Helmi Gimmick, 65, menafikan dia sudah bersara kerana sudah lama tidak muncul di televisyen.

Helmi yang sudah 30 tahun dalam bidang seni berkata, dia masih aktif memenuhi undangan mengacara untuk majlis makan malam hingga hari ini.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana masih laris memenuhi undangan mengacara dari pihak korporat walaupun tiada publisiti dari pihak media. Ramai pihak yang anggap saya sudah bersara sedangkan saya masih aktif,” katanya.

Ditanya mengenai bayaran, Helmi berkata, dia tidak terkesan atau berdepan dengan isu bayaran rendah seperti yang dihadapi ramai artis veteran ketika ini.

“Saya tidak ada masalah itu sebab saya bukan berlakon saja. Saya masih mendapat bayaran yang setimpal daripada pihak korporat sesuai dengan kebolehan dan pengalaman luas dimiliki,” katanya yang boleh bertutur dalam pelbagai bahasa seperti Inggeris, Mandarin, Tamil, Indonesia dan Perancis.

Helmi berkata, walaupun kini artis veteran, dia tetap aktif di media sosial seperti TikTok.

Artis lama seperti saya juga perlu mengikuti trend media sosial sekarang jika mahu bertahan dan relevan,” katanya yang mempunyai 70,000 pengikut di TikTok.

Helmi berkata, ia satu keperluan kerana memang trend penerbit dan pengarah sekarang mahukan artis yang mempunyai ramai pengikut dan aktif di media sosial.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top