Hassan Karim tak bertanding pemilihan PKR

Hassan Karim tak bertanding pemilihan PKR

am@hmetro.com.my

Pasir Gudang: Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim hari ini menyatakan beliau tidak akan bertanding merebut jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor atau sebarang jawatan dalam kepimpinan tertinggi pada pemilihan PKR, Mei nanti.

Hassan yang juga bekas Pengerusi PKR Johor pada 2014 hingga 2019 berkata, beliau juga tidak akan bertanding jawatan di peringkat cabang yang dijadualkan pada bulan hadapan.

Katanya, beliau mahu memberi peluang kepada pelapis dan pemimpin muda bermula dari peringkat cabang sehinggalah ke peringkat tertinggi.

“Saya sudah berkhidmat dan mahu orang muda pula memberi sumbangan mereka dalam PKR.

“Masa saya sudah berlalu. Saya juga tidak bertanding atas faktor umur (sekarang berusia 74 tahun).

“Saya seru pemimpin PRK yang sudah veteran supaya beri laluan kepada orang muda. Saya tidak ada sebarang isu (sebab tidak bertanding),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau masalah sampah dan longkang tersumbat di Bandar Permas Jaya, di sini, hari ini.

Pada 26 Januari lalu, PKR dilaporkan memutuskan pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) parti berkenaan, diadakan pada 24 Mei ini.

Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh berkata, pemilihan bagi jawatan di peringkat Cabang, Wanita Cabang dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang pula ditetapkan pada 11 hingga 20 April.

Katanya, perkara itu diputuskan MPP yang bermesyuarat pada 26 Januari lalu selepas meneliti beberapa cadangan daripada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) berkait proses pemilihan Cabang dan Pusat bagi sesi 2025-2028.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, pemilihan parti yang dilakukan sebelum pilihan raya umum (PRU) membuktikan PKR kini berada dalam kedudukan mantap.

Beliau juga percaya proses pemilihan PKR tidak akan memecahbelahkan parti.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top