nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Hasrat pelajar miskin cemerlang, Nur Nasuha Nusi, 13, untuk meneruskan pelajaran di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) akhirnya tercapai apabila dia ditawarkan ke MRSM Pasir Tumboh, Kelantan bagi sesi akademik 2025.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi Facebook.
Kisah Nur Nasuha sebelum ini tular di media sosial apabila dia tidak dapat menghadiri Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM) kerana tiada kenderaan akibat kemiskinan keluarga.
Namun dengan keprihatinan Bahagian Pendidikan Menengah MARA (BPM) dan pihak MRSM Kuala Krai, Nur Nasuha akhirnya dibantu untuk menduduki ujian serta disediakan kenderaan oleh maktab untuk mengambilnya dari rumahnya di Kampung Lubok Nibong, Bachok.
Asyraf berkata, beliau menerima khabar gembira adik Nur Nasuha berjaya memperoleh keputusan yang amat cemerlang dalam UKKM dan ditawarkan ke berjaya ditawarkan ke MRSM Pasir Tumboh.
“Kejayaan ini membuktikan bahawa kemiskinan bukan alasan dan penghalang untuk mencapai kejayaan jika diberi peluang dan sokongan yang sewajarnya.
“MARA akan terus komited membantu pelajar-pelajar luar bandar yang cemerlang, terutama daripada golongan B40 luar bandar untuk mengubah masa depan keluarga mereka melalui pendidikan.
“Hanya dengan pendidikan kita mampu mengubah nasib keluarga kita,” katanya.
Menerusi perkongsian di Facebook, Asyraf turut menghubungi Nur Nasuha untuk mengucapkan tahniah selain memaklumkan pihak MARA akan memberi bantuan dari segi yuran, bantuan bulanan, bantuan awal akan dibantu pihak MARA.
Beliau turut memaklumkan akan turut memberi sumbangan peribadi selain menasihatkan Nur Nasuha supaya tidak meninggalkan solat sunat Tahajud.
© New Straits Times Press (M) Bhd